Tuesday, November 28, 2006

Penggabungan Mega Perlu Diawasi

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai.]

SELEPAS lebih daripada suku dekad menjana pelaburan Bumiputera dan mengendalikan skim saham amanah terbesar di negara ini, masanya sudah tiba bagi Permodalan Nasional Berhad (PNB) memikirkan masa depannya dan masa depan pemilikan Bumiputera di dalam sektor korporat.

Apabila PNB melancarkan skim saham amanahnya yang pertama dengan nama Amanah Saham Nasional pada tahun 1981, ia berupa kemuncak kepada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru di dalam sektor swasta.

Skim saham amanah atau unit trust itu bersandarkan saham-saham milik kerajaan dalam syarikat milik negara dan syarikat swasta yang dipindahkan kepada PNB pada harga asas (par value).

Ini dengan serta merta memberikan PNB keuntungan modal (capital gain) yang besar kepada PNB. Misalnya, saham yang dipindahkan kepada PNB dengan nilai asas RM1 mungkin sudah berharga RM2 di Bursa Saham.

Keuntungan modal ini apabila dicampurkan dengan dividen tahunan telah memungkinkan PNB membayar dividen dan memberi bonus yang lumayan kepada pemegang-pemegang saham unitnya.

Pelancaran ASN juga berupa garis peralihan antara Pentadbiran Allahyarham Tun Hussein Onn dengan Pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Tidak lama selepas pelancaran skim itu Hussein menyerahkan kuasa kepada Dr Mahathir.

Pada mulanya ASN dikhaskan kepada Bumiputera sahaja. Tetapi apabila Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang lebih besar mengambil alih skim ASN, ASN dibuka kepada semua kaum sebagai saham unit PNB yang pertama dijual kepada rakyat Malaysia semua bangsa.

Justeru itu, penggabungan raksasa yang membabitkan tiga unit operasi utama PNB iaitu Sime Darby Berhad, Golden Hope Plantations Berhad dan Kumpulan Guthrie Berhad dan anak-anak syarikat mereka adalah langkah penting yang semestinya menarik minat umum.

Dengan perubahan masa dan persekitaran ekonomi yang lebih mencabar, PNB terpaksa memikirkan semula modus operandinya. Ia memerlukan satu struktur yang akan membolehkannya terus berkembang, berdaya saing dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan.

Lebih daripada itu ia memerlukan struktur yang mampu menjana keuntungan modal yang tinggi dan memperoleh dividen yang mencukupi untuk membayar dividen dan bonus yang berpatutan kepada pelabur-pelabur saham unitnya.

Bagi PNB, penyusunan semula yang diamanahkan kepada kumpulan perbankan CIMB dengan menggunakan sebuah syarikat yang diwujudkan khas bernama Synergy Drive Sdn Bhd adalah permulaan kepada suatu usaha raksasa yang wajib berjaya. Tiada ruang untuk gagal di sini.

Penyusunan semula yang bernilai kira-kira RM31 bilion itu akan menggabungkan tiga syarikat yang disebutkan bersama enam anak-anak syarikat mereka. Sebagai ganjaran awal dan pemanis kepada pelabur, khasnya pelabur minoriti, Synergy Drive menawarkan harga lima peratus lebih tinggi daripada harga pasaran untuk ke sembilan-sembilan syarikat itu.

Menurut CIMB, apabila selesai dilaksanakan pada suku keempat tahun hadapan (2007), penggabungan itu akan mewujudkan sebuah syarikat raksasa yang kelima terbesar di Bursa Malaysia dengan modal pasaran dianggarkan sebanyak RM31.4 bilion, pekerja seramai 107,000 pekerja ladang seluas 600,000 hektar.

Ini akan menjadi syarikat raksasa itu pemilik ladang terbesar di dunia yang diniagakan di pasaran saham. Cabaran terbesar ialah mempertingkatkan produktiviti ladang kelapa sawitnya yang kini masih terkebelakang berbanding dengan beberapa buh syarikat perladangan lain di negara ini.

Sektor perladangannya dijangka berkeupayaan menjana dagangan tahunan (annual turnover) sebanyak RM26 bilion. Ia juga akan mempunyai kegiatan-kegiatan lain seperti hartanah, kejuruteraan, automotif, penjanaan tenaga, perdagangan, kimia, ubat-ubatan dan hospital.

Cabaran jangka panjang terbesar ialah menjamin agar syarikat gergasi ini tidak rebah kerana berat bandannya sendiri. Kebimbangan ini tidak boleh ditolak bulat-bulat kerana tidak semua penggabungan mega di dunia berjaya menghasilkan syarikat yang berdaya maju.

Dalam masa terdekat sebarang tindakan yang membawa kepada pembuangan pekerja, penjualan atau penswastaan aset dan pelantikan ahli lembaga atau pengurusan kanan dari kalangan “orang yang disyaki” akan menyebabkan motif kerajaan dan PNB dicurigai.

Perkara-perkara ini wajib dipastikan tidak terjadi kerana di akhir-akhir berlaku urus niaga yang menimbulkan syak wasangka dan kontroversial yang membabitkan watak-watak yang dikaitkan dengan kerajaan, khasnya dengan Perdana Menteri.

Kesimpulannya kerajaan dan PNB menanggung risiko politik dan ekonomi yang tinggi melaksanakan penggabungan raksasa ini. Tetapi ia berupa risiko yang boleh dan perlu dihadapi demi menjamin kesinambungan sebuah gagasan besar yang bermula dengan pelancaran DEB pada tahun 1970.

Justeru itu, sambil kita memberi keyakinan kepada kerajaan dan PNB untuk melaksanakan penstrukturan korporat yang penting ini, kita perlu menjadi mata dan telinga agar projek raksasa ini “tidak dilarikan” (hijacked) oleh pihak-pihak yang berkepentingan peribadi.

Thursday, November 23, 2006

Merger Must Benefit Shareholders

A Kadir Jasin

[Revised and Updated, Nov. 24]

I think Synergy Drive Sdn Bhd is a special purpose vehicle to be use to implement the merger. For the time being it's "owned" by CIMB or people linked to it.

Later, I think, say in a couple of months, it will “collapse” into one of the three companies -- Sime Darby, Golden Hope and Guthrie – to become the new mega listed entity.

That new entity, with some 600,000 hectares of land will possibly be one of the largest plantation companies in the world with operations in several countries.

Assets of these three companies can be repackaged to form a highly diversified mega conglomerate with activities in plantation, property, wholesale marketing and retailing, automotive, power generation, healthcare and pharmaceuticals.

Other PNB companies may also be involved in the merger as PNB had requested for trading of nine of them on Bursa Malaysia to be suspended.

I am confident that it is not likely for any individual or group to be able to “hijack” a corporate restructuring of this magnitude.

Still, it is good if all of us can keep an eye on it.

[Original Posting]

THIS is my preliminary thoughts on the talks that Sime Darby, Golden Hope and Kumpulan Guthrie will be merged into a giant plantation-based conglomerate.

Whatever the Prime Minister cum Minister of Finance does with Sime Darby, Guthrie and Golden Hope, he must protect and guarantee the interest of the minority shareholders, who, in this case, include millions of Permodalan Nasional Berhad’ unitholders.

PNB is the controlling shareholders of the three companies. Thus this can be a golden opportunity for the Prime Minister to fulfill his pledge at the Umno Annual General Assembly in Kuala Lumpur last week to continue with the implementation of the NEP-type programmes.

While the merger proposal might have been promoted by PNB itself and ahead of Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi's appointment as Prime Minister, the final authority to approve or reject the merger lies with him.

But I personally take great comfort in the fact that the merger is being put together by the highly reputable and professional CIMB Group. I am sure everthing will be above board, transparent and fair.

Additionally, the Prime Minister could use this mega merger to protect and enhance the Bumiputera share of the corporate sector via the PNB.

He could use the mega merger to enhance the value of the three GLCs for the benefit of their shareholders.

He could use the mega merger to create possibly one of the largest plantation-based companies in the world so that it can truly enjoy the economies of scale and drives his agricultural revival programme.

He could use the mega merger to create more employment at the time when the number of unemployed graduates and school leavers, according to government statistics, is nearing 100,000. With the end of the 2006 school year, more school leavers will be joining the job market.

He could use the mega merger to “reward” the best corporate sector managers in the country by putting them at the helm.

Remember, Tun Dr Mahathir Mohamad and his key advisers, including the late Tun Ismail Ali and Tan Sri Desa Pachi raided the London Stock Exchange in early 1980’s to gain control of Guthrie Corporation.

Let’s hope that this time around our current Prime Minister will do as well, if not better for the sake of the shareholders of the three companies, their 60,000-odd employers and unit holders of PNB unit trust funds.

Tuesday, November 21, 2006

Mukhriz: Separating Grain From Chaff

A Kadir Jasin

[Anonymous comments will not be entertained. Please use real name or a suitable pseudoymn for easy identification.]

THE Umno Youth executive council member, Datuk Mukhriz Mahathir, who is now the punching bag of the Prime Minister’s supporters, does not need sympathy.

He knew what he was getting into when he mildly criticised Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi’s speech at last week’s Umno General Assembly.

He is a politician and he knows the price he has to pay. If he is not willing to take the risk, he should not be in politics. It’s still not too late for him to make an exit.

Or he can be like everybody else in Umno – toe the line. Umno should be more than happy to accept his apology. But that would render his political career unremarkable and, possibly, very brief.

But if he perseveres, he may yet prevail. Today’s Umno may not be made up of Einsteins of the Malay community. But it has enough politically astute members to realise that prolonging the debate could be counter productive.

At stake is not Mukhriz’s political future. He is almost alone and he’s only an Umno Youth Executive Council member. At the centre of this little controversy are the Prime Minister, his advisers and speechwriters.

A continuation of the debate will not only attract more attention to his Nov. 15 address but also risk greater scrutiny of his amanat (message). An independent assessment may not be as guarded as the one Mukhriz made.

Umno cannot also be seen to be pounding too hard on Mukhriz as this may give rise to suspicion that that it is picking on him because he is Tun Dr Mahathir Mohamad’s son --- a case of beating the son to spite the father.

One important element that Mukhriz’s critics must think very carefully is his standing in the Youth Movement. His position in the movement is tested and proven.

Unlike the Youth Chief, Datuk Hishammuddin Hussein, and his deputy Khairy Jamaluddin, Mukhriz contested and won the executive council post with the highest number of votes despite attempts at sabotaging him. Hishammuddin and Khairy won uncontested.

Although the party election is still some years away, Mukhriz could continue to build and strengthen his core support, which neither Hishammuddin nor Khairy could claim to have.

Acting harshly against Mukhriz will offend his supporters – something that all the “menang tanpa bertanding” Umno VIPs, Hishammuddin and Khairy in particular, can ill afford.

Still he has to play his card and make use of his newfound “notoriety” judiciously. The political, economic and media “machines” are against him.

And being the son of the recalcitrant Dr Mahathir is not necessarily advantageous at the time when all efforts are geared towards demolishing his (Mahathir’s) legacy.

When he commented on Abdullah’s speech, only The Star reported it. But when he was criticised, the mainstream media pounced on him like a pack of hungry wolves.

This is the turning point for Mukhriz. He either takes that penultimate dive and swims out of the tsunami created by his famous father or remains a mere thorn in Umno’s fat rear.

This is when the struggle calls for courage and sacrifice, and when the political mill will separate the grain from the chaff.

Friday, November 17, 2006

PM, Kebebasan Media dan Realiti Semasa

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Tolong gunakan nama sebenar atau nama samaran yang sesuai.]

UCAPTAMA Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Perhimpunan Agung Tahunan Umno tahun ini semestinya mengilhamkan para penulis dan pembaca.

Perdana Menteri secara khusus mengakui bahawa kritikan yang konstruktif (membina) adalah digalakkan dan menganggap media massa sebagai rakan dalam usaha membina masyarakat demokratik yang bertanggungjawab.

Utusan Malaysia keluaran 16 November memetik Perdana Menteri sebagai berkata bahawa kritikan konstruktif adalah digalakkan dan percanggahan pendapat dilihat secara objektif dan tidak semestinya dianggap sebagai tentangan terhadap Kerajaan.

‘‘Media semakin berani menyiarkan berita yang memperlihatkan kelemahan Kerajaan dan kesilapan anggota pentadbiran. Ada di kalangan anggota kerajaan dan anggota parti yang berasa resah. Ada yang menganggap Perdana Menteri telah hilang kawalan.

‘‘Sebenarnya, saya lebih bersedia melihat perbalahan hangat meletus di muka akhbar daripada rusuhan membara di muka bumi,’’ tegasnya.

Serentak itu beliau berkata media massa perlulah matang dan tidak terperangkap dengan isu sensasi yang boleh menjejaskan hubungan harmoni antara kaum serta mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Menurut Perdana Menteri, Kerajaan mempunyai pandangan positif terhadap media massa dan berharap ia dapat mengimbangi peranannya dalam pembangunan negara.

‘‘Pengurusan akhbar yang matang dan bijaksana akan dapat mencapai titik perimbangan yang dapat membina amalan media yang sihat, memahami masalah yang dihadapi rakyat dan prihatin terhadap masalah yang perlu ditangani oleh negara,’’ ujarnya.

Abdullah menegaskan bahawa media massa yang bertanggungjawab akan bersama menghayati wawasan negara dan membantu membina kematangan proses demokrasi.

‘‘Pengamal media perlu sama-sama mengamalkan akauntabiliti yang tinggi terhadap matlamat pembangunan negara dan perpaduan warga,’’ ujarnya.

Terima kasih Perdana Menteri. Hasrat dan jaminan Tuan itu tentulah melegakan dan menggembirakan pengamal media massa dan khalayak mereka yang semakin hari semakin keliru dengan arah tuju Kerajaan dan negara.

Tetapi di masa yang sama, tidak dapat tidak, ia akan mencetuskan perbahasan baru mengenai apa yang Perdana Menteri suratkan dengan apa yang sebenarnya tersirat dan antara apa yang dijanjikan dengan apa yang dilaksanakan.

Perdana Menteri bercakap mengenai media massa yang matang dan tidak terperangkap dengan isu sensasi yang boleh menjejaskan hubungan harmoni antara kaum serta mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Tetapi kita mendapati bagaimana media massa milik Umno dan Kerajaan sendiri, secara sengaja atau kerana leka, telah menyiarkan bahan-bahan yang menimbulkan kemarahan umat Islam seperti kartun Nabi Muhammad (S.A.W).

Manakala akhbar bebas yang kecil dan terpencil yang melakukan kesilapan yang sama digantung penerbitannya, akhbar dan stesen televisyen milik Umno dan Kerajaan hanya perlu memohon maaf sambil lewa dan dibebaskan daripada segala tindakan.

Di saat-saat media massa milik Umno dan Kerajaan diuar-uarkan sebagai berada di bawah kepemimpinan yang berwibawa dan selari dengan prinsip-prinsip Islam Hadhari, kita mendapati ada akhbar yang digantung penerbitannya kerana menyiarkan bahan-bahan seks yang keterlaluan.

Ironinya, tepat pada saat Perdana Menteri bercakap mengenai kebebasan media di dalam Dewan Merdeka, penjual-penjual buku di luar dewan “diarahkan” jangan menjual buku-buku oleh beberapa orang penulis tertentu kerana kandungannya dikatakan kritikal terhadap Perdana Menteri, Umno dan Kerajaan.

Dan bagaimanakah kita mempertahankan kedudukan media massa, khasnya akhbar berbahasa Melayu, seperti yang dirayukan oleh wakil Johor, Mohd. Puad Zarkashi, jika proses “mendangkalkan” minda sudah menjadi begitu sebati dengan elit politik?

Dalam ucapannya membahaskan amanat Presiden, Mohd. Puad maju pembelaan daripada kerajaan dan UMNO bagi memastikan kelangsungan akhbar Melayu dan mengelakkannya daripada berkubur.

Kalau elit politik Melayu yang mempunyai pengaruh yang luas ke atas kandungan media massa berbahasa Melayu berminda hambar dan bercakap mengenai isu remeh-temeh, bagaimanakah mutu dan kandungan media massa berbahasa Melayu hendak dipertingkatkan?

Dan bagaimanakah Mohd. Zarkashi boleh mengharapkan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membantu memperkukuhkan prestasi kewangan media massa Melayu apabila mereka sendiri tidak teragak-agak bersaing atau membelakangkan media massa berbahasa Melayu?

Benar amaran Senator dari Johor itu yang berbunyi “ingat siapa yang kuasai maklumat, ia juga boleh menguasai kuasa.”

Tetapi, dalam suasana yang wujud hari ini kemampuan media massa berbahasa Melayu -- yang umumnya dimiliki oleh orang atau organisasi Melayu -- untuk menguasai maklumat adalah terhad.

Jumlah pengedaran yang kecil, bilangan muka surat yang terhad dan kandungan yang semakin hambar menyebabkan kemampuan media massa Melayu menjadi landasan memperluas dan memantapkan kuasa sama ada kuasa politik, pentadbiran atau ekonomi semakin diragui.

Hari ini, semakin banyak elit Melayu yang memegang teraju politik, pentadbiran dan ekonomi membaca akhbar berbahasa Inggeris dan menggunakan saluran baru maklumat yang berlandaskan Internet untuk memperoleh maklumat.

Tanpa sokongan iklan, media massa berbahasa Melayu terpaksa bergantung kepada jualan untuk menampung perbelanjaan. Ini mendorong mereka berlumba-lumba mencari pembaca dengan menyiarkan bahan-bahan sensasi yang kurang atau tiada langsung nilai maklumatnya.

Maka di sinilah terletak jurang antara apa yang dihasratkan dan dijanjikan oleh Perdana Menteri dengan apa yang sebenarnya dihantar dan sampai kepada kumpulan sasar.

Sistem penghantaran (delivery system) yang tidak terancang terus menjadi masalah dan sekali gus memburukkan imej pentadbiran sekarang. Lain yang dijanjikan, lain yang dihantar atau tidak dihantar langsung.

Maka, pada saat Perdana Menteri menjanjikan kebebasan berkarya, operator-operator Umno yang mahu Perdana Menteri saban masa berasa gembira, menyekat penjualan bahan-bahan yang dikatakan kritikal terhadap Kerajaan.

Dunia media Melayu khasnya dan media massa Malaysia amnya tidak akan mencapai matlamat yang beliau hasratkan jika terus wujud jurang dan kekangan antara apa yang tersurat dengan yang tersurat, apabila toleransi dan keterbukaan sekadar penyedap cakap.

Dunia media Malaysia tidak akan cerdik, bermaklumat dan berpengaruh jika proses menghambarkan (dumbing down) minda oleh elit politik, khasnya Umno, terus berlaku secara sedar atau tidak sedar – bila perbahasan amanat Presiden dipenuhi pantun seloka, lawak jenaka, puji-pujian dan retorik murahan.

Penggantungan penerbitan sebuah akhbar tabloid hujung minggu milik Umno baru-baru ini jelas membuktikan bagaimana proses ini telah menghalalkan transformasi sebuah akhbar tua yang sopan dan membina kepada risalah sensasi yang memperdagangkan seks rambang.

Monday, November 13, 2006

Abdullah, Mahathir, Umno dan .......

A Kadir Jasin

[Versi yang disemak semula. Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila guna nama sebenar atau nama samaran yang sesuai.]

[MUTAKHIR, 14 Nov. TUN Dr Mahathir Mohamad telah keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) setelah para doktor yang merawatnya sejak 9 Nov. lalu berpuas hati bahawa kesihatan bekas Perdana Menteri itu telah pulih secukupnya.

Dr Mahathir meninggalkan hospital jam 5.30 petang tadi. Beliau dinasihatkan supaya berehat sehingga bulan depan.]

Surat YBhg Tun Mahathir kepada ahli-ahli Umno.

Para perwakilan Umno yang dihormati sekalian,

Selamat bersidang.

Saya minta maaf kerana tidak dapat bersama.
Saya berdoa mudah-mudahan Allah subhanahuwata’ala,
Allah Yang Maha Esa membuka hati kita semua,
memberi hidayat dan petunjuk supaya mengorbankan segala-gala demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara.

Amin Ya Rabbul A’lamin

Mahathir bin Mohamad
Ahli Umno : 0000001
15hb.November 2006

SEMPENA persidangan tahunan Umno yang bermula hari ini, saya ingin mengambil kesempatan membina beberapa senario untuk kita renungkan bersama.

Bunyinya lebih kurang begini ---- Perdana Menteri tidak akan kalah, Presiden Umno tidak akan tewas, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menang, Umno mungkin dihukum pada pilihan raya umum akan datang dan pentadbiran negara, khasnya pengurusan ekonomi, mungkin akan terganggu.

Dalam sejarah Malaysia, bukan mudah mengalahkan Perdana Menteri. Hasil daripada sistem perkongsian kuasa yang membabitkan pelbagai kaum di mana keistimewaan diberikan kepada kaum majoriti Melayu, usaha menjatuhkan Perdana Menteri amat sukar dilaksanakan.

Turut merumitkan keadaan adalah ciri-ciri feudalisme yang masih kuat bertapak dalam masyarakat Melayu. Lihat sahaja betapa mudahnya Umno diyakinkan dengan keturunan.

Satu-satu Perdana Menteri yang tidak “berketurunan” adalah Dr Mahathir yang berasal daripada keluarga bukan aristokrasi. Yang lain semuanya membina kerjaya politik mereka berlandaskan keturunan.

Tunku Abdul Rahman putera di raja, Tun Abdul Razak Hussein Orang Besar Pahang, Tun Hussein Onn aristokrat Johor dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pewaris keluarga Ulama Politik Pulau Pinang.

Walaupun Umno sudah berusia 60 tahun, negara sudah merdeka 49 tahun dan masyarakat Malaysia lebih canggih namun unsur feudalisme dan keturunan dalam Umno dan pemerintahan bukan semakin luntur malah semakin kental.

Manifestasinya adalah kehadiran watak-watak umpama Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan Datuk Seri Syed Hamid Jaafar Albar.

Ciri-ciri yang sama jelas mengambil peranan memudahkan kemunculan dan kemaraan watak-watak baru seperti Khairy Jamaluddin (Timbalan Ketua Pemuda merangkap menantu Perdana Menteri), Nur Jazlan Mohamed (Ahli Parlimen dan anak bekas Menteri) dan Astaman Abdul Aziz (Ahli Parlimen dan anak bekas Menteri).

Malah Dr Mahathir juga boleh membina dinasti politiknya sendiri jika beliau mahu. Sebaliknya beliau menghalang anak-anaknya daripada memegang jawatan parti ketika beliau menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Justeru itu, percubaan menjatuhkan Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Satu-satunya percubaan yang berjaya memaksa Perdana Menteri dan Presiden Umno berundur adalah pada tahun 1969/70 berikutan peristiwa 13 Mei, 1969.

Banyak pemerhati politik dan sejarawan merujukkan gerakan itu kepada Dr Mahathir yang dikatakan mempeloporinya dengan “restu” Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Abdul Razak.

Ketika percubaan itu dibuat, kedudukan Tunku lemah dan sukar dipertahankan akibat prestasi buruk Parti Perikatan pada pilihan raya umum 1969 dan pergaduhan kaum yang berlaku beberapa hari selepas itu.

Sejak itu, hanya dua percubaan dibuat untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan Presiden Umno iaitu oleh Allahyarham Haji Sulaiman Palestin terhadap Allahyarham Tun Hussein dan pakatan Tengku Razaleigh Hamzah-Musa Hitam, yang turut merangkumi Abdullah, terhadap Dr Mahathir pada tahun 1987.

Percubaan menjatuhkan Hussein gagal. Begitu juga dengan cabaran terhadap Dr Mahathir. Bagaimanapun selepas itu Umno diseret ke mahkamah dan diharamkan, Umno Baru ditubuhkan dan kedudukan Dr Mahathir menjadi bertambah kuat.

Ironinya ialah cabaran itu akhirnya memberikan kuasa yang sangat besar kepada Presiden Umno dan Perdana Menteri. Inilah antara legasi utama politik pada era Dr Mahathir.

Satu demi satu dasar, peraturan dan amalan yang diperkenalkan atas nama perpaduan parti dan orang Melayu memperkukuhkan kedudukan Presiden dan pemegang-pemegang jawatan utama parti.

Itulah kuasa dan keistimewaan yang diwarisi dan dimanfaatkan oleh Abdullah untuk meminggir dan melenyapkan suara Dr Mahathir. Dan jika amalan itu tidak diubah, itulah juga senjata yang akan menikam Abdullah apabila beliau bersara nanti.

Justeru itu, kita perlu bertanya apakah dalam suasana ini mampu Dr Mahathir atau sesiapa juga dalam Umno menggugat kedudukan Presiden parti dan Perdana Menteri?

Jawapannya ialah sukar walaupun tidak mustahil. Kalau Dr Mahathir berjaya memesatkan persaraan Tunku dengan “restu” Abdul Razak, dia hanya mampu mengulangi proses itu jika “disokong” oleh anak Abdul Razak bernama Mohd Najib.

Malah, daripada apa yang boleh dilihat dan boleh difikirkan kita tidak pun boleh membuat kesimpulan bahawa Dr Mahathir dan mereka yang sealiran dengan beliau sebenarnya mahu menjatuhkan Abdullah.

Daripada apa yang boleh kita analisis dan fahami, Dr Mahathir mengkritik Abdullah bukan kerana hidung Abdullah lebih mancung daripada hidungnya atau kerana Abdullah kerap mengimamkan solat dan beliau tidak.

Dr Mahathir mengkritik Abdullah kerana dasar dan gaya pentadbirannya seperti membatalkan Projek Jambatan Bengkok, penyelewengan AP, penjualan MV Augusta dan campur tangan anggota keluarga dalam politik, pentadbiran, perniagaan dan media, tunduk kepada kuasa luar dan menggunakan kaedah “police state”.

Sekalipun kritikan Dr Mahathir dan idea-idea beliau dikongsi oleh banyak ahli Umno dan rakyat jelata, persoalannya ialah apakah ada di kalangan pembesar Umno hari ini seorang seperti Abdul Razak yang berani atau berkemampuan “merestui” penyingkiran Presiden dan Perdana Menteri?

Jawapannya tiada. Mohd Najib tidak akan merestui atau membenarkan sesiapa pun menggunakan namanya untuk menggugat kedudukan Abdullah. Selepas melihat nasib buruk yang menimpa Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim – dua Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri yang kecundang – dasar Mohd Najib adalah menjadi timbalan yang setia dan taat.

Lagipun, selain Mohd Najib tiada siapa dalam barisan pembesar Umno yang menduduki Majlis Tertinggi sekarang yang cukup berpengaruh untuk mengambil tempat Mohd Najib sebagai pengganti Abdullah.

Ada beberapa orang anggota MT hari ini yang ada ciri kepemimpinan, berbudi pekerti mulia dan mempunyai kapasiti minda yang tinggi. Ironisnya, ciri-ciri ini jugalah yang nampaknya ditakuti dan dibenci oleh kepemimpinan Umno hari ini.

Di luar kerangka utama kuasa, dua nama yang sering disebut sebagai kemungkinan adalah Tengku Razaleigh dan Anwar. Tengku Razaleigh yang kini berusia 69 tahun mempunyai rekod perkhidmatan parti dan kerajaan yang luas manakala Anwar masih berupa satu-satunya pemimpin generasi baru yang karismatik.

Dalam jangka masa singkat, kedudukan Tengku Razaleigh lebih realistik kerana dia ahli kanan Umno dan Ahli Parlimen. Ada pandangan mengatakan bahawa Mohd Najib tidak perlu dikorbankan demi Tengku Razaleigh.
Menurut aliran pemikiran ini, Tengku Razaleigh boleh dipilih menjadi Presiden Umno dan Mohd Najib dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dr Mahathir tidak berminat dan berhasrat kembali menerajui Umno dan kerajaan. Malah dengan keadaan kesihatan beliau sekarang, kemampuannya terus menjadi pemangkin perubahan adalah terhad.

Yang akan segar dan menjadi pencetus perubahan adalah idea-idea beliau yang bernas dan komitmen beliau yang kental kepada perjuangan mendaulatkan negara. Itu pun media massa arus perdana yang terkongkong di bawah pemilikan Umno dan kawalan Kerajaan akan terus dikerah untuk memusnahkan legasi beliau.

Pemusnahan legasi Mahathir mungkin, dalam masa singkat, akan memperkuatkan kedudukan Abdullah dan membanteras sebarang kemungkinan berlaku pergerakan besar-besaran (mass movement) ke arah mengubah kepemimpinan Umno dan Kerajaan.

Kesimpulannya, kedudukan Abdullah tidak akan tergugat apatah lagi dengan pemilihan Umno tidak akan diadakan sehingga selepas pilihan raya umum akan datang.

Tetapi Umno, Kerajaan dan rakyat jelata mungkin terus mengalami dilema dan akan dinilai secara negatif pada pilihan raya umum yang akan datang.

Abdullah mengatakan dengan tegas bahawa beliau bukan Perdana Menteri satu penggal (one-term Prime Minister). Itu semua orang faham.

Tetapi yang akan terus menjadi tanda tanya ialah apa akan terjadi kepada Umno, Barisan Nasional, orang Melayu, rakyat Malaysia, maruah dan keselamatan negara, kedudukan ekonomi rakyat, peranan global kita dan banyak lagi?

Kalau Umno dan rakyat jelata masih mengidamkan perubahan, idea-idea yang dicetuskan oleh Dr Mahathir dan legasi yang beliau tinggalkan akan terus relevan.

Bergantung kepada cara bagaimana pentadbiran sekarang menanganinya, ia sama menjadi racun berbisa yang menyebabkan luka semakin bernanah atau penawar yang boleh menyembuhkan seribu penyakit.

Soalnya apakah Umno yang bersidang minggu ini mempunyai pekerti yang cukup tinggi dan minda yang cukup bergeliga untuk memilih antara yang hambar dengan yang bestari, antara yang hipokrit dengan yang ikhlas dan antara kaca dengan permata.

Selamat bersidang.

PS. Terima kasih Saudara Akulamat kerana mengingatkan saya mengenai cabaran Sulaiman Palestin terhadap Hussein Onn. Saya sudah buat pembetulan dalam versi ini.

Saturday, November 11, 2006

Tun Dr M Kata Terima Kasih

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila guna nama sebenar atau nama samaran yang sesuai.]

MANTAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) semakin sihat.

Hari ini beliau memberi temu ramah ringkas kepada Bernama dan RTM.

Menurut Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff, dalam temu ramah itu, Tun Dr Mahathir secara khusus mengucapkan terima kasih kepada peserta blog kita ini kerana mendoakan kesihatan beliau.

Semalam, sebagai tanda kenang budi kepada Tun dan bagi membuktikan yang dia tidak keseorangan di saat-saat cemas ini, saya telah menyalin (downloaded) ucapan doa saudara/saudari dan menghantarkannya kepada beliau.

Saya harap saudara/saudari tidak membantah. Terima Kasih.

Thursday, November 09, 2006

Tun M di IJN, Kita Berdoa

A Kadir jasin

[Revised Version]

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila guna nama sebenar atau nama samaran yang sesuai.]

SAYA melawat Tun Dr Mahathir Mohamad di Institut Jantung Negara (IJN) jam 5 petang tadi. Tun dalam keadaan baik. Beliau menerima beberapa orang pelawat dan berbual-bual ringan dan berjenaka dengan mereka.

Bekas Perdana Menteri memberitahu saya dia berasa selesa dan mengakui bahawa beliau terlalu aktif beberapa hari lalu dengan perjalanan ke Arab Saudi dan New Zealand.

Antara pembesar yang mengunjungi beliau adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada kira-kira jam 2.30 petang dan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamad Yaacop, pada sebelah pagi.

[Laporan Asal]

LAPORAN Bernama, jam 12.33, 9 Nov, berbunyi: “Tun Mahathir Admitted To IJN
KUALA LUMPUR, Nov 9 (Bernama) -- Former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad has been admitted to the National Heart Institute in Kuala Lumpur Thursday after complaining of chest pains at his house this morning, an aide to the former prime minister told Bernama.”

Saya berdoa Tun segera sembuh. Semalam saya dan banyak rakan-rakan wartawan bebas menyertai pengunjung lain berjumpa beliau di majlis rumah terbuka Aidil Fitri anak-anaknya.

Turut hadir ialah Datuk Seri Zam (Datuk seri Melaka) pun turut hadir. Aktivis Umno kawasan Datuk Seri Zam (Merbok)pun turut hadir. Apa yang mereka kata mengenai Datuk Seri Zam kepada saya tidak elok saya ulangi di sini. This is neither the occasion nor the time.

Datuk Seri Zam bukan macam saya. Dalam bahasa mesra orang Kedah, orang macam saya dipanggil pemberita cabuk. Tapi Datuk Seri Zam sudah lama meninggalkan dunia pemberita cabuk untuk menjadi pembesar politik negara.

Mengenai Tun, saya rasa dia perlu rehat, slow down and take it easy. Antara Sabtu lalu dan semalam, saya dimaklumkan, Tun telah pergi ke Saudi Arabia dan kemudian ke New Zealand untuk berucap dan mengadakan rundingan.

Tetapi di dalam apa pun kejadian ada hikmat dan kebaikannya. Tun kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN ) yang berupa simbol mutakhir pengiktirafan beliau kepada kehebatan doktor-doktor anak watan yang melakukan pembedahan jantung ke atas beliau lebih 15 tahun lalu.

Ketika pembesar-pembesar lain “lari”mencari rawatan di luar negara untuk masalah kesihatan yang lebih kecil, Tun menaruh sepenuh keyakinan terhadap kemampuan doktor-doktor anak watan untuk membelah dadanya dan merawat jantungnya..

Sebagai pernyataan terima kasih dan pengiktirafan, beliau menganugerahkan mereka dan rakyat Malaysia sebuah hospital khas untuk rawatan jantung iaitu IJN.

Bagi Tun, setiap butir permata ilmu dan setiap cebis pengalaman wajib dimanfaatkan.

Justeru itu kita berdoa.

Wednesday, November 08, 2006

Sekadar Melepas Rasa Terbuku Di Hati

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila guna nama sebenar atau nama samaran yang sesuai.]

RASA sedih, hairan dan ngeri. Akibatnya saya terpaksa bertanya: Apakah yang sedang terjadi kepada Negara kita; negara Malaysia tercinta?

Berita sensasi mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri dan pembesar-pembesar Umno membina rumah umpama mahligai tanpa kebenaran.

Berita mengenai dinasti politik yang semakin menular kuasanya sehingga ke peringkat Majlis Perbandaran dan Daerah.

Berita mengenai kemurkaan Sultan terhadap penyelewengan cawangan eksekutif sehingga memaksa Baginda campur tangan dalam hal yang sepatutnya ditangani dan diselesaikan oleh Cawangan Eksekutif.

Berita mengenai jenayah kejam -- yang sama atau lebih kejam daripada yang digambarkan di dalam filem-filem Mafia Amerika -- yang menyangsikan orang kenamaan, pegawai dan anggota polis ditangkap dan dikenakan tahanan reman.

Ditakuti, kalau kita tidak berhati-hati dan berjaga-jaga, negara kita akan digambarkan sebagai “the murder capital of the world”.

Harap-harap, rasa gundah gulana di hati ini tidak mencerminkan realiti. Harap-harap negara tercinta ini masih dalam jagaan Illahi.

Harap-harap apa sedang berlaku adalah kekecualian dan bukan kebiasaan – exceptions and not the rule.

Na’uzubillahi min dzalik.

[PS. Dan berita mengenai akhbar tabloid "milik Umno" digantung penerbitannya oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri kerana "mewujudkan kontroversi di kalangan pembaca dengan laporan-laporan yang dianggap keterlaluan menganai isu-isu berkaitan seks.]

Friday, November 03, 2006

Dr M tidak disingkir tapi diberi kata dua

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila guna nama sebenar atau nama samaran yang sesuai.]


SYABAS kepada Majlis Tertinggi Umno dan kepada Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi , kerana bertindak waras tidak menghukum Tun Dr Mahathir Mohamad atas “dosanya” mengkritik Kerajaan secara terbuka.

Seperti terkandung di dalam update posting bertarikh 2 Nov., MT UMNO yang bermesyuarat semalam (2 Nov.) memutuskan untuk tidak mengambil tindakan disiplin ke atas Dr Mahathir.

Utusan Malaysia (3 Nov.) memetik Abdullah sebagai berkata bahawa bekas Perdana Menteri itu juga tidak akan dilucutkan jawatan sebagai penasihat kepada beberapa badan kerajaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan, ini tidak bermakna bahawa Dr. Mahathir kebal daripada tindakan jika melanggar peraturan dan perlembagaan parti.

‘‘Keputusan MT itu bukan menandakan kepimpinan parti takut untuk mengambil tindakan terhadap Dr. Mahathir, cuma buat masa ini parti tidak mahu mengambil sebarang tindakan,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Ada beberapa isu yang perlu dikaji, dianalisis dan difahami. Pertamanya, MT tidak mempunyai hak ke atas pelantikan Dr Mahathir atau sesiapa sahaja sebagai penasihat Kerajaan dan agensi-agensinya. Ia adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri.

Kuasa atau hak MT, jika ada, hanyalah sekadar memberi pandangan atau membuat gesaan sama ada melantik atau memecat seseorang. Namun ada eloknya Perdana Menteri, sekalu Presiden Umno, memberi peluang kepada ahli-ahli MT menyuarakan pandangan.

Kedua, isu kedudukan Dr Mahathir itu, menurut Abdullah (seperti dilaporkan oleh Bernama) dibangkitkan oleh perwakilan Umno Kedah. Laporan Utusan pula memetik Perdana Menteri sebagai mengulas cadangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas yang mendesak Kerajaan melucutkan segera semua jawatan Dr. Mahathir dalam Kerajaan berikutan tindakannya terus mengkritik kepimpinan Abdullah.

Gesaan perwakilan Kedah dan Pemuda Kepala Batas itu jelas merupakan percubaan untuk mempolitikkan kedudukan Dr Mahathir sebagai Penasihat Petronas, Proton dan Lembaga Kemajuan Langkawi (Lada).

Bagaimanapun, jelas buat masa ini iaitu Perdana Menteri dan MT tidak berasa perlu untuk mempolitikkan isu itu lebih daripada apa yang sudah berlaku. Dalam erti kata yang lain, Perdana Menteri dan MT mungkin berpendapat bahawa “hatchet job’ yang dilakukan oleh penggiat, operator dan juak-juak Umno di peringkat negeri dan bahagian sudah cukup sebagai hukuman ke atas Dr Mahathir.

Ketiga, MT tidak mempunyai asas moral yang kukuh untuk menghukum Dr Mahathir kerana mengkritik Kerajaan secara terbuka setelah melakukan pelbagai tipu-helah menghalang beliau daripada menggunakan pentas Umno.

Malah Perdana Menteri tidak pun memberi reaksi kepada cadangan Mubarak agar Dr Mahathir dijemput berucap kepada ahli MT dalam majlis tertutup dan berjumpa dengan anggota Kabinet Umno/Melayu.

Bukan itu sahaja, Abdullah turut menolak permintaan Dr Mahathir agar perjumpaan mereka pada 22 Oktober lalu dihadiri oleh seorang saksi.

Keempat, Abdullah melalui sidang akhbarnya memberi amaran kepada Dr Mahathir dan semua ahli parti bahawa MT berhak dan akan mengambil tindakan ke atas mereka jika dirasakan perlu.

Dan kelima, Abdullah secara terang menyatakan bahawa keputusan MT tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Dr Mahathir tidak bermakna ia takut kepada bekas Perdana Menteri itu.

Saya setuju. Perdana Menteri dan MT tidak perlu takut kepada Dr Mahathir. Dengan keseluruhan jentera parti, kerajaan dan media massa arus perdana di belakangnya, Perdana Menteri tidak perlu takut kepada Dr Mahathir.

Yang perlu diperhatikan dan diberi pertimbangan oleh Perdana Menteri dan MT ialah kemungkinan kritikan Dr Mahathir dan isu-isu yang beliau bangkitkan sudah mempunyai momentumnya sendiri. Ia bukan lagi agenda peribadi Dr Mahathir tetapi sesuatu yang sudah mempunyai “rohnya” sendiri.

Namun, saya menganggap nada suara Abdullah dan MT yang agak “concoliatory” (bertolak ansur) itu sebagai positif dan memberikan sedikit harapan bahawa ketegangan sekarang boleh diredakan dan perbezaan pendapat boleh diatasi tanpa sesiapapun hilang air muka.

Misalnya, Kerajaan boleh memulakan proses pemikiran semula – rethinking-- ke atas projek-projek dan dasar-dasar era Dr Mahathir yang dibatalkan atau digantung seperti Jambatan Bengkok, Landasan Kereta Api Kembar dan Projek Hidro Bakun dan memberi penjelasan yang lebih meyakinkan mengenai penjualan MV Agusta, rundingan perjanjian perdagangan bebas dan pengeluaran permit import kenderaan bermotor (AP) seperti yang berulang kali dijanjikan.

Mesti ada sesuatu yang tidak kena atau tidak sempurna dengan jawapan Kerajaan sehingga kini apabila masih banyak rakyat jelata yang terus memihak kepada Dr Mahathir walaupun Kerajaan dan media massa kawalannya mendakwa bahawa semua pertanyaan beliau telah dijawab dan dijelaskan.

Serentak itu, Perdana Menteri dan MT perlu memulakan proses mengeluarkan duri, bisa dan racun dari jasad Kerajaan dan Umno. Ahli-ahli MT harus lebih ikhlas dan telus dengan Perdana Menteri. Mereka wajib menyatakan apa yang terbuku di hati mereka mengenai pengurusan Pejabat Perdana Menteri, parti dan media massa milik parti.

Sikap dan sifat talam dua muka sesetengah daripada mereka tidak membantu memperkukuhkan kawalan parti ke atas Kerajaan dan memberikan isyarat yang mengelirukan kepada ahli dan penyokong parti.

Bukan rahsia lagi bahawa pembesar-pembesar talam dua muka ini berteriak “yes sir” (ya tuan) di hadapan Perdana Menteri dan orang kepercayaan beliau tetapi membebel mengkritik beliau di kedai kopi dan di rumah kenduri.

Umno tidak boleh menyukarkan penyertaan ahli di dalam kegiatan parti atau menyekat penyaluran maklumat kepada mereka. Apa pun alasan dan muslihat MT mengubah masa mesyuarat agung tahun ini daripada hujung minggu kepada hari kerja (mulai Isnin 13 November), kesannya ia menyukarkan perwakilan, pemerhati dan ahli biasa datang ke Kuala Lumpur untuk menghadirinya.

Harus diakui bahawa bukan semua ahli dan penyokong Umno bergantung kepada jentera propaganda rasmi untuk mendapatkan maklumat. Mereka kini mempunyai saluran maklumat alternatif seperti laman berita Internet dan blog. Tidak semua yang percaya dan menyokong membabi-buta lagi.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).