Thursday, September 29, 2011

Lagi Macam-Macam Ada: Bersunat Vs Ayam Jantan


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan pengenalan  “anonymous”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

BILA saya muncul di TV al-Hijrah baru-baru ini, pengacara mudanya, antara lain, merumuskan agar kita jangan memandang ke belakang lagi. Kita hanya memandang ke hadapan.

Dalam perbincangan panel mengenai cadangan pemansuhan ISA itu, saya membahasakan diri saya haiwan purba yang tidak pupus – the living dinosaur.

Jadi saya sarankan kepada beliau supaya membuang semua cermin pandang belakang keretanya dan cuba pandu dengan tidak ada rear view mirror. Sejarah ada cermin pandang belakang kehidupan dan tamadun manusia.

Kalau kita buta sejarah, samalah dengan memandu tanpa cermin pandang belakang. Tapi kalau kita asyik tengok cermin pandang belakang masa memandu, kita boleh langgar pokok atau jatuh sungai.

Jadi dalam posting kali ini, saya hendak ajak pembaca tengok cermin pandang belakang sebab saya baru baca balik buku Tingkatan Enam Rendah saya (tahun 1967) bertajuk “Adat Isti’adat Melayu” karangan Syed Alwi Bin Syed Sheikh Al-Hadi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dalam buku itu, ada macam-macam adat istiadat serta amalan orang Melayu yang diceritakan. Antara yang saya, sebagai dinosaur, boleh fahami betul-betul ialah adat istiadat bersunat. Pada zaman saya, ia berupa adat istiadat meriah bagi orang dewasa dan sangat-sangat menakutkan bagi yang akan disunatkan.

Tak ada doktor. Tak ada bius. Tak ada oksigen. Tak ada ubat. Yang ada tok mudim, pisau cukur sepanjang enam inci, batang pisang dan abu dapur. Untuk kebaskan badan supaya tak sakit sangat, kita berendam dalam telaga sepanjang pagi. Lepas itu dipakaikan kain sarung dan diusung atas bahu untuk disunatkan.

Lepas disunatkan, kita duduk terkangkang atas abu dapur yang tadah darah kita.  Abu dapur digunakan sebab ia kering dan bersih. Kita buat “dressing” sendiri guna kertas alas kotak rokok. Ada tak ada ubat hanyalah iodin.

Tiga minggu tak sembuh lagi. Silap-silap, kata orang Kedah, meliau – septik. Yang paling seksa bila saudara mara perempuan yang sudah tua selak untuk tengok dah baik atau belum. Itu tak masuk lagi upacara dilagakan dengan ayam jantan. Malu tak terkira.

Mengenai adat istiadat bersunat, Syed Alwi, antara lain,  menulis: “Kemudian maka budak itu pun di-dudokkan berchelapak di-atas batang pisang, dan to’ mudim itu pun dengan pantas menyunatkan dia, dan sa-habis sahaja di-chantas-nya maka dengan chepat to’ mudim itu mengambil bapak ayam itu dan di-acu2kan-nya kepala bapak ayam itu kepada kemaluan budak itu dan jika nampak kembang tengkok ayam itu tatkala di-acu2kan maka yang demikian itu konon, menandakan budak itu garang dan akan berbini banyak.”

Saya tak dilagakan dengan ayam jantan semasa bersunat, tapi bila sudah hampir sembuh, dengan ihsan abang-abang sepupu yang suka melawak. Kita malu tak terkira, mereka gelak terdekah-dekah. Syukur, segala-galanya berjalan lancar.

Hari ini, bagi ramai orang Melayu, bersunat bukan istiadat lagi. Ia tidak lebih daripada pembedahan kecil yang selesai dalam setengah jam. Malah dua orang cucu saya disunatkan sebaik saja lahir.

Nak lagakan dengan ayam jantan pun dah susah. Nak cari ayam jantan yang jaguh bukan mudah, kena cari Wak Jawa yang bela ayam sabung untuk judi haram di kongsi. Silap-silap kena cekup polis.

Sekarang banyak ayam jantan dah jadi ayam “ponen” atau ayam "darai" sebab kena suntik hormon ayam betina. Badan besar, kukuh nyaring tapi kena hambat ayam betina lari lintang pukang. Lagipun, ayam betina tak perlukan ayam jantan untuk bertelur, cuma telur yang tidak disenyawakan oleh ayam jantan tak menetas. Wallahualam.

Nota kaki: 1. Syed Alwi menulis permata ilmu itu pada tahun 1959 dan DBP menerbitkannya pada tahun 1960. 2. A hen does not need a rooster to lay an egg. Hens ovulate regularly, regardless of whether there is contact with a male or not. Most grocery store eggs come from hens that have never seen a rooster.

Monday, September 26, 2011

Antara "Dajal" Dan Laut Dalam


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan  “anonymously”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

DALAM bahasa Inggeris ada satu ungkapan yang berbunyi “between the devil and the deep blue sea”. Diterjemahkan literal ke bahasa Melayu ia bererti di antara dajal dan laut dalam yang biru warnanya.

Ia merujuk kepada dua pilihan saya sama besar ancamannya. Ungkapan ini tidak asing kepada kepemimpinan politik dan orang ramai yang berpendidikan Inggeris, tetapi mungkin dianggap kasar atau kesat oleh yang tidak biasa dengannya.

Dalam konteks pilihan raya umum yang akan datang, apakah ini pilihan yang ada kepada kita?

Boleh jadi kerana tanggapan umum terhadap orang politik begitu negatif maka jarang mereka mengaitkan orang politik dengan laut dalam yang biru airnya.

Mereka lebih kerap mengaitkan politik dan orang politik dengan dajal. Maka diciptakan pula frasa yang berbunyi “it’s better the devil know than the devil you don’t” – lebih baik dajal yang kita kenali dengan yang tidak kita kenali.

Di Barat yang kini menjadi “kiblat” politik ramai Melayu dan bukan Melayu liberal, mereka sangat tidak menyukai dan jarang sekali mempercayai orang politik. Jadi, jolokan “devil” itu kerap dirujukkan kepada mereka.

Hatta seorang pembesar politik yang dikagumi kerana kehebatan tindak tanduk dan tipu-helahnya pun dikaitkan juga dengan dajal. Dia dikatakan “devilishly clever” – cerdik macam dajal.
  
Pilihan Dalam PRU Akan Datang

Jadi, menjelang PRU akan datang, apakah pilihan yang ada kepada pemilih di Malaysia – adakah di antara dajal dan laut dalam yang biru warnanya atau antara dajal yang mereka kenal dengan yang tidak mereka kenal?

Minta dijauhkan Allah, pilihan yang akan dikemukakan kepada kita nanti hendaknya bukanlah dajal sebaliknya insan-insan yang boleh kita panggil pemimpin.

Barisan Nasional/Perikatan telah menguasai politik Malaysia (Malaya) sejak Pilihan Raya Dewan Perundangan Malaya tahun 1955. Di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat pula, hanya Pas mempunyai rekod yang lama mentadbir negeri. DAP dan PKR baru pada tahun 2008 berkongsi memerintah negeri.

BN menjadi sangat lemah ketika pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Beliau menang besar pada PRU 2004 dan kalah teruk pada PRU 2008.

Abdullah menjadi mangsa liberalisasi politik yang tidak terancang dan pembawa-larian pentadbirannya oleh beberapa kerat “insider” yang digelar Budak-Budak Tingkat Empat. Mereka terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan pegawai-pegawai peribadi beliau.

Mohd Najib Abdul Razak naik menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009 apabila Abdullah dihambat keluar oleh gabungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Naib Presiden kanan Umno masa itu, Muhyiddin Mohd Yassin.

Atas sebab itu, Mohd Najib terpaksa berhati-hati apabila berurusan dengan Dr Mahathir dan Muhyiddin yang kini timbalan beliau merangkap Timbalan Presiden Umno.

Abdullah cuba menjadikan “Islam Hadhari” wadah perjuangannya dan jatuh tersungkur. Hari ini, Islam Hadhari hampir-hampir tidak disebut lagi.

Mohd Najib mempunyai jauh lebih banyak gagasan dan slogan. Daripada 1Malaysia kepada rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Pemandu, KPI, NKRA dan pada malam menjelang Hari Malaysia 16 September lalu, memperkenalkan pula “cool factor” dengan mencadangkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) serta beberapa akta polok yang lain.

Banyak pihak menyindir dan menyelar retorik beliau, tetapi kerana kepandaian beliau dan “handlers” beliau memperkenalkan satu demi satu penjenamaan, rakyat jelata keliru dan akhirnya lupa janji-janji yang belum ditunaikan atau gagal pelaksanaannya sebaliknya gembira dengan janji-janji baru yang diperkenalkan satu demi satu.

Injit-Injit Semut Mohd Najib

Ada kalanya beliau memaksa pembangkang menari mengikut rentak beliau dan ada masanya rentak tarian beliau sama dengan rentak pembangkang.

Apabila beliau menguar-uarkan “package” liberalisasi politik yang termasuk pemansuhan AKDN, rentak beliau sama dengan rentak pembangkang sekian lama berkempen menghapuskan Akta itu.

Tetapi, pokok pangkalnya Mohd Najib, Umno dan BN akan diadili mengikut kriteria yang lebih asas dan fundamental seperti prestasi ekonomi, kenaikan kos sara hidup, pengangguran, kadar jenayah dan isu-isu harian.

Pemansuhan AKDN mungkin mempopularkan Perdana Menteri di kalangan pengundi minoriti Cina dan India, tetapi akan menimbulkan masalah di kalangan pengundi majoriti Melayu yang selama lebih 40 menjadi penyokong kuat ISA.

Jentera BN meramalkan prestasi baik pada PRU akan datang, termasuk menawan semula Selangor. Kalau keyakinan ini ada asasnya, ia bukanlah kerana BN telah menjadi lebih kuat, tetapi kerana PR menjadi lebih lemah.

Perkembangan dalam parti-parti PR dan di antara mereka memberi gambaran wujudnya masalah ideologi, dasar dan pendekatan yang luas.

Tarik tali antara Pas dan DAP mengenai Negara Islam/Hukum Hudud lawan sekularisme tidak membantu memperkukuhkan PR manakala isu kesinambungan kepemimpinan terumbang ambil akibat kes mahkamah ketua mereka, Anwar Ibrahim.

Keceloparan Timbalan Presiden baru Pas, Mohamad Sabu, membantu Umno kerana ramai anggota pasukan bersenjata dan perasanya marah kepada Pas. Undi pos polis dan tentera sudah dalam tangan BN.

Tetapi dengan mencadangkan pemansuhan ISA, Mohd Najib mungkin melukakan perasaan kelompok yang sama yang mengorbankan nyawa dan jasad mempertahankan negara daripada keganasan komunis dan pelampau-pelampau lain.

Duit Senjata Mohd Najib

Senjata utama Perdana Menteri adalah memberikan peruntukan khas kepada kelompok-kelompok tertentu yang menguasai peti undi.

Ini boleh beliau lakukan dengan mudah kerana beliau menyimpan banyak peruntukan belanjawan di JPM dan Kementerian Kewangan yang kedua-duanya beliau kawal.

Manakala senjata pembangkang pula adalah  kejayaan mereka memaksa Kerajaan menari dengan rentak dan irama mereka.


Antara senjata tajam yang berjaya mereka gunakan adalah tujuk perasaan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Akibat kecelaruan Kerajaan menangani tunjuk perasaan itu, PR yang bersekongkol dengan Bersih, mendapat faedah di luar jangkaan.

Walaupun Kerajaan menafikannya, tetapi majoriti berpendapat tunjuk perasaan itu telah memaksa Kerajaan bertindak balas dengan menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai reformasi pilihan raya.

Pembangkang juga mempunyai bukti yang kuat bagi mendakwa yang kerana tekanan merekalah, Mohd Najib bertindak balas dengan mengemukakan pemansuhan AKDN dan beberapa akta lagi yang selama ini mereka tentang.

Bergantung kepada bila Kerajaan membentangkan rang undang-undang pemansuhan AKDN, Pembangkang terpaksa menyokongnya, tetapi mereka belum tentu akan menyokong rang undang-undang bagi mewujudkan dua akta keselamatan baru bagi menggantikan AKDN.

Bukanlah kemenangan bagi pembangkang kalau satu akta dimansuhkan, tetapi diganti oleh dua akta baru.

Melainkan BN memperoleh semula kelebihan suara dua pertiga di Dewan Rakyat dalam PRU akan datang, ia terpaksa meminta bantuan PR bagi meluluskan  dua rang undang-undang keselamatan itu. Ini bermakna, rang undang-undang itu perlu didrafkan sebagai rang undang-undang dua pihak yang membabitkan BN dan PR.

Pendek kata, walaupun kita tidak mahu pilihan kita dalam PRU akan datang menjadi “Pilihan Hobson” iaitu pilihan antara dua dajal  --  dajal yang kita kenal dengan dajal yang kita tidak kenal --  kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa yang akan menentunya adalah parti-parti yang bertanding.

Merekalah yang akan menentukan sama ada calon-calon yang mereka kemukakan dan manifesto yang mereka tawarkan cukup bersih untuk secara sahih mencampak jauh unsur-unsur dajal yang kita takuti itu atau mereka akan mengemukakan watak-watak dan piagam yang sama.

Wallahualam.

Friday, September 16, 2011

Antara Liberalisasi dan Reaksi Kepada Pembangkang


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan  “anonymously”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

MUKHADIMAH – Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, mengumumkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) akan dimansuhkan dan digantikan dengan dua undang-undang keselamatan baru. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan akan dipinda. Akta Buang Negeri  akan dimansuhkan dan  Akta Kediaman Terhad disemak semula. Perisytiharan Darurat yang masih berkuat kuasa akan ditarik balik dan undang-undang kebebasan berhimpun akan dipinda bagi mengiktiraf Perkara 10 Perlembagaan.

Pada mulanya saya tidak bercadang mengulas perkembangan ini. Tapi setelah menerima beberapa pertanyaan dan komen melalui SMS, saya rasa perlu memberi sedikit ulasan awal.

1. AKDN atau Internal Security Act (ISA) ada penyokong tegarnya. Majoriti orang Melayu tidak ada masalah dengannya.  Sebahagiannya pula mempunyai kaitan emosi yang kuat dengan akta itu kerana ramai suku-sakat dan saudara-mara berjuang menentang komunis malah terkorban akibatnya;

2. Hanya Melayu liberal, Melayu muda yang tidak merasai pahit getir darurat dan peristiwa 13 Mei, 1969 atau yang buta sejarah saja yang mati-matian mahu AKDN dihapuskan;

3. Hatta Melayu di pihak pembangkang pun tidak semuanya menentang AKDN sehingga mahu ianya dihapuskan. Kalau mereka nampak mati-matian menentangnya, itu adalah “posturing” politik;

4. Ramai juga pemimpin pembangkang sekarang pernah menjadi penyokong kuat AKDN apabila mereka dalam kerajaan. Mereka adalah fait accompli kepada akta itu kerana tidak berbuat apa-apa bagi menghapuskannya ketika dalam kerajaan;

5. Kalau AKDN berguna kepada Kerajaan Barisan Nasional, ia pun berguna juga kepada Pakatan Rakyat kalau ia ditakdirkan menjadi kerajaan. Cuma sekarang, dengan cadangan pemansuhan akta itu, PR tidaklah berpeluang menggunakannya kalau berkuasa;

6. Kalau Kerajaan BN telah menggunakan AKDN ke atas pemimpin pembangkang, pemimpin pembangkang pun boleh menggunakan AKDN ke atas pemimpin BN kalau BN ditakdirkan kalah pilihan raya suatu masa nanti;

7. Pembangkang sudah pun mendakwa kemenangan. Kata mereka, kerana asakan merekalah, Perdana Menteri mengumumkan liberalisasi itu dan kalau mahu ianya ditunaikan, teruskanlah menyokong PR atau lebih baik lagi pilih PR sebagai kerajaan pada pilihan raya umum akan datang; 

8. Masalah yang sering ditimbulkan mengenai AKDN bukan undang-undang itu per se, tapi peruntukannya dan cara ia dikuatkuasakan oleh polis. Kalau itu masalahnya, cara terbaik adalah meminda akta itu;

9. Saya adalah antara penyokong AKDN. Pendirian saya tidak berubah. Tapi saya setuju yang beberapa peruntukan akta itu dipinda seperti yang dicadangkan dalam laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia bagi memendekkan tempoh siasatan dan mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh polis dan Menteri Dalam Negeri;

10. Suruhanjaya itu mencadangkan pindaan kepada AKDN sebagai tolak-ansur dengan PDRM yang mahu ianya dikekalkan. Saya tidak pasti kalau PDRM telah mengubah pendirian mengenai perlunya AKDN dikekalkan;

11. Mengenai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, saya setuju ia dipinda bagi mengambil kira kemajuan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) dan keberkesanan kawalan media massa dalam era komunikasi siber ini; dan

12. Akta Buang Negeri dan Kediaman Terhad umumnya ditujukan kepada penjenayah yang terbabit dengan jenayah moral macam judi haram, pelacuran dan penyeludupan manusia. Ia digunakan juga ke atas anggota kongsi gelap dan kumpulan samseng. Masalah ini mungkin boleh ditangani kalau polis lebih cekap dan cepat menyiasat. Peguam Negara lebih cekap melakukan pendakwaan dan mahkamah lebih pantas membicarakannya. Kalau tidak, penjenayah jenis ini akan bertambah berani. Sekarang mereka takut kena buang daerah.

13. Mengenai hak berhimpun secara aman, saya sudah mengulasnya dengan panjang lebar sebelum ini dan tidak bersetuju dengan cara Kerajaan menangani tunjuk perasaan Bersih 2.0 Julai lalu.

Kesimpulannya, adakah ini "ranting zaiton" Mohd Najib kepada pemilih muda dan liberal atau sekadar penerusan liberalisasi pseudo Abdullah Ahmad Badawi yang secara langsung menyumbang kepada penghakisan sokongan terhadap BN pada PRU lalu?

Wallahualam.

Sunday, September 11, 2011

11/9: Nyawa Muslim Vs Nyawa Amerika


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan  “anonymously”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

MAAF cakap kalau saya katakan, saya nampak tanda-tanda penjajahan minda yang meluas oleh Barat ke atas sesetengah orang kita, termasuk yang mengendalikan media massa.

Saya rasa mereka begitu terpengaruh dengan diayah Barat berkaitan peristiwa 11/9 hingga mereka membuta-tuli menggunakan label 9/11 yang mengelirukan ramai pembaca, penonton dan pendengar mereka. Ada yang menyangka ia berlaku pada 9-11-2001.

Peristiwa pengeboman dengan kapal terbang ke atas World Trade Centre (WTC) di New York dan Pentagon, Washington DC, berlaku pada 11-9-2001. Jadi sepatutnyalah kita labelkan peristiwa itu sebagai Peristiwa 11/9 bukan tiru sistem takwim Amerika letakkan bulan dulu lepas itu baru hari bulan dan tahun.

Kesilapan ini mungkin remeh, tapi bagi saya, ia, secara tidak disedari, menggambarkan betapa tertakluknya minda sesetengah orang kita sehingga mereka menerima bulat-bulat apa saja yang disumbatkan oleh Barat, khasnya oleh Amerika.

Mungkin saya tidak boleh menyalahkan mereka. Mungkin latar belakang pendidikan dan ideologi mereka berbeza daripada zaman saya.

Saya belajar di sekolah Inggeris, baca buku dalam bahasa Inggeris, melanjutkan pelajaran ke dunia Barat, banyak tertugas dalam persekitaran Barat dan kenal ramai orang Barat.

Sepatunya, minda sayalah yang lebih mudah dipengaruhi atau terdedah kepada penjajahan psikologi Barat. Tetapi oleh sebab saya faham sedikit sebanyak “the mind game” atau mainan minda mereka, maka saya tidak terlalu taasub dengan pemikiran mereka atau percaya kepada propaganda mereka.

Jadi saya tertanya-tanya apakah nyawa kira-kira 3,000 yang terbunuh dalam serangan itu lebih mahal dan kekejamannya lebih teruk daripada yang dilakukan oleh Amerika ke atas jutaan orang Islam sebelum dan selepas kejadian itu?

Crusade George.W. Bush

Perang Jihad Dalam leksikon politik neo-konservatif dukungan George W. Bush, Peristiwa 11/9 umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Bush dengan serta merta mengisytiharkan “crusade” (perang jihad) ke atas sesiapa saja yang dituduh terlibat dengan 11 penyerang Arab Saudi itu.

Dengan penasihat-penasihat yang sangat kuat kebenciannya terhadap Islam, dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang sedia berbohong, tugas Bush mencari biri-biri hitam di kalangan umat Islam untuk disembelih sangat mudah.

Begitu meluas dan meyakinkan pembohongan mereka sehingga sampai ke hari ini pun, media massa dunia, termasuk di dunia Islam, hatta di negara kita sendiri, begitu bersedia mengingati dan meratapi Peristiwa 11/9 tetapi lupa terhadap kekejaman Amerika, Israel dan sekutu-sekutunya di Iraq, Afghnistan dan Palestin.

Mereka lupa, nyawa 3,000 orang Amerika telah dibalas dengan 1.03 juta nyawa rakyat Iraq – orang tua, wanita dan kanak-kanak - antara Mac 2003 dan Ogos 2009 (Opinion Resarch Business Survey).

Di Afghanistan, antara 2001 dan 2009, operasi tentera Amerika dan sekutunya telah membunuh hampir 20,000 orang awam, kebanyakannya oleh pengeboman udara.

Keganasan Tajaan Negara

Jadi, dalam sesetengah orang kita dan media massa kita menjadi “ga-ga” akibat diayah 11/9 ini, kita harus bertanya apakah nyawa 3,000 orang mangsa pengeboman New York dan Washington DC itu lebih mahal berbanding nyawa jutaan orang Islam yang terkorban akibat keganasan halal tajaan negara oleh Amerika dan kuasa-kuasa Barat lain?

Kita kutuk pengeboman ke atas WTC dan Pentagon 10 tahun lalu.

Tapi mengapa berdiam diri terhadap pengeboman harian yang dilakukan oleh Amerika ke atas orang awam Afghanistan sejak 10 tahun lalu?

Rupa-rupanya, ramai orang Islam bukan saja dijajah mindanya oleh Barat, malah mereka bersikap talam dua muka – hipokrit.

Wallahulam.

Sunday, September 04, 2011

Mohamad Sabu Dan Pemutarbalikan Sejarah


A Kadir Jasin

[KALAU mengulas menggunakan  “anonymously”, tolong tuliskan nama Saudara/Saudari pada permulaan dan penghujung komen. Kalau boleh minta ringkas. Terima kasih.]

PERLARUTAN bahas mengenai spectre penyerang balai polis Bukit Kepong sebagai pejuang nasionalis unjuran Timbalan Presiden Pas, Haji Mohamad bin Sabu aka Mohamad Sabuu, adalah bukti tambahan kepada kecamukan pemikiran Pas dan usahanya menjadi parti arus perdana.

Tidak lama selepas “menggantungkan” matlamat Daulah Islamiah dan digantikan dengan konsep negara berkebajikan, Pas melangkah setapak lagi ke arah arus perdana dengan percubaan menarik simpati orang Cina.

Soalnya, berapa ramai orang Cina yang menyokong interpretasi luarbiasa Mohamad Sabu itu atau faham dan peduli mengenai peristiwa tersebut. Atau apakah ini satu lagi contoh keceloparan Timbalan Presiden Pas itu?

Mohamad Sabu dilaporkan dengan meluas sebagai berkata, antara lain, bahawa pengganas komunis yang menyerang balai polis Bukit Kepong dan membunuh 25 orang anggota polis dan ahli keluarga mereka pada tahun 1950 adalah perwira sebenar “kerana mereka berperang melawan British”.

Debat ini sudah lama. Semua sudah tahu inti patinya. Jadi tidak perlulah saya mengulas panjang mengenai ketepatan atau kesesuaian kupasan Mohamad Sabu itu.

Lagipun, salah seorang rakan kongsi terkemuka Pas dalam  Pakatan Rakyat, YB Karpal Singh sudah pun memberi reaksi yang agak berpatutan.

Karpal yang terkenal dengan frasa “langkah mayat saya” kalau Pas hendak tubuhkan negara Islam, antara lain, menyifatkan kenyataan Mohamad Sabu itu sebagai “ill-advised” – dibuat tanpa nasihat yang waras dan berfikir panjang.

Soalnya, adakah Mohamad Sabu jenis orang yang berfikir panjang dan mendengar nasihat? Wallahualam.

Apa pun, reaksi YB Karpal itu, bagi saya, sangat bermakna kerana beliau adalah antara pemimpin DAP yang paling keras dan lantang menentang dasar Daulah Islamiah Pas, dan beliau boleh dikira berjaya apabila Pas “menggantungkan” matlamat Negara Islam dan menggantikannya dengan negara berkebajikan.

(Rencana ini elok dibaca selari dengan posting berjudul “Can Pas Lead A Future Government” yang ditampalkan pada 16 Ogos lalu).

Keceloparan percakapan dan kedangkalan pemikiran seperti inilah yang akan mensabotaj usaha Pas menjadi parti arus perdana yang disokong oleh majoriti orang Islam/Melayu dan disenangi oleh orang bukan Melayu/bukan Islam.

Sekalipun Mohamad Sabu begitu “desperate” – terdesak – untuk menafikan peranan pemimpin Umno dalam perjuangan kemerdekaan, namun adalah sangat tidak patut melabelkan anggota polis yang mati itu sebagai agen penjajah dan komunis yang membunuh mereka sebagai perwira.

Mungkin dalam keghairahan beliau hendak menobatkan dirinya sebagai orang nombor dua Pas dan dalam usaha menyedapkan hati kaum-kaum minoriti, khasnya Cina, Timbalan Presiden Pas itu lupa kepada ratusan ribu ahli keluarga dan keturunan anggota tentera dan polis kita – tak kira bangsa dan agama – yang mati menentang pengganas komunis.

Kesimpulannya, kepemimpinan Pas tidak boleh menyalahkan sesiapa kalau keceloparan mulut Timbalan Presidennya itu menjadi setitik nila yang merosakkan susu sebelanga, dan macam kata beberapa pembahas, menjadi tajuk hangat perbualan Eid Mubarak.

Bagi orang Islam/Melayu, pemutarbalikan sejarah seperti yang dibuat oleh Mohamad Sabu itu akan memburukkan lagi ancaman terhadap legitimasi mereka sebagai bangsa induk dan  kaum majoriti negara ini.

Nampak sangatlah parti-parti Melayu/Islam di Malaysia kini semakin hari semakin ghairah menyusukan kera di hutan sampai anak di rumah kebuluran. Wallahualam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).