Wednesday, July 26, 2017

Insentif Felda Duit Siapa?



A Kadir Jasin


INSENTIF adalah pemelayuan istilah bahasa Inggeris “incentive” yang bermaksud galakan.

RM1 bilion insentif peneroka duit siapa - duit Maybank?
Soalnya galakan apakah yang dimaksudkan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak sewaktu mengumumkan enam jenis pemberian kepada 94,956 peneroka Felda yang setia pada 23 Julai lalu?

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Baguslah peneroka Felda mendapat durian runtuh. Tetapi siapa yang membiayainya? Silap-silap peneroka sendiri yang berhutang untuk membiayai insentif itu.

Ini adalah kerana kedudukan kewangan Felda, khususnya dan kerajaan pusat amnya, lemah longlai. Maka adalah mustahil insentif itu diberikan sebagai bonus atau habuan tetapi lebih berupa pinjaman yang secara tersirat atau tersurat terpaksa dibayar balik oleh penerima.

Pengerusi baru Felda, (Tan Sri) Shahrir Abdul Samad sendiri mengaku kepada media massa bahawa Felda mengalami kekurangan belanjawan sebanyak RM1 bilion sejak tahun 2015. Maksudnya pendapatan Felda kurang RM1 bilion daripada perbelanjaan.

Kata Shahrir, matlamat beliau adalah mengurangkan defisit tersebut. Tapi dengan Felda terus berhutang, defisit itu bukan sahaja tidak akan berkurangan sebaliknya meningkat.

Jadi dalam keadaan di mana kerajaan dan Felda tidak ada duit untuk diboroskan, jelaslah bahawa insentif yang dijanjikan itu tidak lain tidak bukan adalah untuk tujuan politik kepartian, iaitu menyogok peneroka dan ahli keluarga mereka agar menyokong Umno/BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sogokan ini adalah pengakuan mutakhir Najib dan konco-konco beliau bahawa Umno/BN bukan lagi pilihan eksklusif di rancangan-rancangan Felda, khususnya dan di kawasan luar bandar, amnya.

Secara terang-terangan Najib memberi gambaran bahawa ini adalah pemberian bersyarat apabila beliau berkata 20,000 peneroka bebas yang tidak termasuk dalam senarai penerima boleh dipertimbangkan dengan syarat kembali ke pangkuan Felda, iaitu kembali setia kepada Umno/BN.

Umno/BN Parti Eksklusif

Baguslah kalau peneroka Felda dan orang luar bandar sudah membuka mata kepada realiti bahawa Umno/BN bukan lagi parti terangkum untuk semua, tetapi sudah berubah menjadi parti eksklusif untuk kroni dan anak bini.

Umno/BN bukan lagi parti yang membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat jelata, tetapi parti yang membebankan mereka dengan GST, kenaikan kos sara hidup, pengangguran, pemotongan biasiswa, penghapusan pinjaman pengajian tinggi dan pengurangan kemudahan rawatan di hospital-hospital kerajaan.

Umno/BN adalah parti yang mencipta 1MDB bagi memperkayakan Jho Low, Riza Abdul Aziz, Tim Leissner dan gerombolan mereka dan membebankan rakyat jelata serta negara dengan hutang paling besar dalam sejarah.

Riza (kiri), Jho Low (kanan): serigala yang baham 1MDB
Kita yang faham keadaan sebenar ekonomi negara dan bebannya kepada rakyat jelata tidak akan menyalahkan peneroka dan sesiapa saja yang teruja dan berasa amat gembira dengan sogokan yang dilabelkan sebagai insentif, bonus dan bantuan itu.

Pokok pangkalnya itu lah yang akan terjadi apabila kerajaan Umno/BN menggagalkan ekonomi negara dan memiskinkan rakyat jelata. Rakyat jelata yang dulu senang, selesa dan berkeyakinan hari ini menjadi pengemis yang mengharapkan sedekah dan bantuan.

Soalnya, adakah cukup dan memadai bantuan bermusim ini atau kita berusaha memulihkan ekonomi kita dan ekonomi negara kita agar menjadi lestari semula?

Kalau pilihan kita adalah yang kedua, maka kita perlu menolak kerajaan kleptokrat Unmo/BN yang mencuri harta rakyat jelata.

Felda tidak ada duit tetapi Felda tidak muflis kerana ia dijamin oleh kerajaan. Tetapi sekarang bukan sahaja Felda mengalami defisit (kekurangan) yang besar, kerajaan pusat pimpinan Umno/BN pun kekurangan wang akibat pengurusan fiskal dan monetari yang hambar. Sebab itulah potong sana potong sini, cukai sana cukai sini, hutang sana hutang sini, jual itu dan jual ini.

Insentif Duit Hutang

Jadi dari mana datang peruntukan “durian runtuh” untuk peneroka dan rakyat miskin ini kalau tidak daripada hutang dan perahan hasil daripada syarikat serta tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLC/GLIC)?

Inilah yang saya tulis dan sebut berulang kali sebagai punca kebimbangan yang amat sangat bahawa kerajaan kleptokrasi yang ketandusan wang ini akan berhutang lagi dan memerah duit GLC/GLIC.

Tanpa hutang baru pun, hutang kerajaan pusat sudah melambung kepada RM833.75 bilion pada tahun 2015, iaitu paras paling tinggi dalam sejarah negara.

Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib adalah “bapa hutang negara”. Di bawah kelolaannya, hutang kerajaan naik kepada RM376.39 bilion pada tahun 2009 berbanding RM317.44 bilion yang ditinggalkan oleh (Tun) Abdullah Ahmad Badawi dan RM188.79 bilion oleh Tun Dr Mahathir.

Najib Bapa Hutang Negara. Hutang terbanyak dalam sejarah.
Sebab itulah saya sangat-sangat bimbang syarikat-syarikat milik Permodalan Nasional Berhad (PNB), khususnya Maybank, akan dijadikan sasaran kerana mereka masih mempunyai rizab yang banyak. Kita akan perhatikan tindak-tanduk pengurusan baru PNB yang dipengerusikan oleh bekas menteri kabinet Najib, (Tan Sri) Abdul Wahid Omar. Saya sangat-sangat bimbang PNB dalam keadaan bahaya!

Saya rasa Najib tidak berani lagi menjadikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (pencen pekerja swasta) sebagai harta karun setelah meminjam RM25 bilion untuk syarikat misteri Pembinaan PFI Sdn Bhd.

Apatah lagi meminjam daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (pencen kakitangan awam) setelah mengaut RM4.4 bilion untuk sebuah lagi syarikat misteri bernama SRC International Sdn Bhd.

Begitu juga daripada Tabung Haji yang telah diperah untuk membiayai kegiatan 1MDB dan menyokong terbitan awam permulaan (IPO) FGV pada tahun 2012.

Jadi yang mungkin menjadi sasaran adalah syarikat-syarikat PNB dan GLIC milik Khazanah Nasional Berhad.

Inilah yang ditakuti dan wajib diawasi dengan serapi-rapinya kerana kerajaan kleptokrasi yang mencuri ini mungkin terus menggali sumber GLC dan GLIC bagi menampung perbendaharaan yang semakin kering.

Wallahuaklam.

Tuesday, July 18, 2017

Awasi PNB Macam Sewah Mengawasi Mangsa



A Kadir Jasin


KEHANGATAN perbahasan tajuk “PNB Beli PNB1 Dengan Harga RM173,800” yang ditampal pada 8 Julai adalah gambaran jelas kepedulian masyarakat, khasnya Bumiputera, terhadap masa depan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Tun Ahmad Sarji lancar Unit Bergerak ketika jadi Pengerusi PNB

Kita memperoleh 112 ulasan daripada para pembahas. Ini sangat-sangat mengagumkan. Alhamdulillah dan terima kasih.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Saya yakin para pemimpin atasan PNB khasnya dan negara amnya mengambil maklum dan peduli terhadap perasaan yang disuarakan.

Tajuk di atas bukan sahaja dibincangkan dalam blog ini tetapi juga telah ditularkan melalui banyak saluran media sosial dan oleh ramai penggiat.

Kesimpulannya majoriti pembahas tidak yakin dengan alasan yang diberikan oleh Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, bahawa penempahan nombor-nombor plat khas itu adalah baik bagi penjenamaan PNB dan merupakan aset nyata (tangible asset) PNB.

Apatah lagi, bilangan nombor yang ditempah bukan tujuh dengan perbelanjaan RM387,835 seperti saya nyatakan tetapi 25 dengan harga RM419,006 seperti dalam jawapan Abdul Wahid.

Kebanyakan pembahas berpendapat ia adalah pemborosan, pembaziran dan perbuatan menunjuk-nunjuk. Mereka berpendapat “branding” PNB/Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sudah cukup baik dan tidak memerlukan penjenamaan sensasi.

Saya tidak ada sebarang masalah dikutuk dan diherdik oleh para pembahas yang berasa perbuatan PNB itu baik dan saya berniat jahat.

Saya juga tidak peduli sangat kalau diri saya tidak dihiraukan oleh pengurusan atasan PNB. Tetapi oleh kerana ada percubaan di kalangan sesetengah daripada mereka untuk menjalin (atau menjalin semula) perhubungan dengan saya, maka saya mengalu-alukannya.

Saya lebih gembira kalau mereka prihatin kepada kehendak, aspirasi dan keperluan pelabur skim saham amanah tajaan PNB.

Penghapusan Buku Pas

Misalnya elok orang macam Abdul Wahid dan Datuk Abdul Rahman Ahmad (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif) PNB fikir masak-masak cadangan hendak ganti buku pelaburan (passbook) dengan akaun digital berkata kunci.

Abdul Wahid (kiri) dan Abdul Rahman wajib utamakan pemegang unit
Mereka pun budak-budak kampung macam saya. Tetapi hari ini mereka pandai dan celik teknologi maklumat. Bagaimana pun, ramai lagi orang kampung yang buta IT dan tidak yakin dengan urusan tanpa buku.

Penghapusan buku pas dan penggantiannya dengan akaun digital adalah idea yang akan menyusahkan warga tua dan mendedahkan mereka kepada manipulasi dan penipuan. Jadi orang cerdik di PNB dan ASNB mohon fikirkan semula.

Jangan fikirkan kesenangan tuan-tuan dan puan-puan sahaja dan hendak jimatkan kos dengan apa cara jua. Tolong ingat juga kos sosial dan psikologi 
yang akan ditanggung oleh pelabur.

Terima kasih kepada pegawai-pegawai PNB dan anak syarikatnya yang menawarkan diri sebagai pendamai dan memohon saya bersimpati dengan agensi amanah Bumiputera itu.

Tidak ada apa yang hendak didamaikan. Saya tidak bergaduh dengan sesiapa. Saya sekadar mengkritik apa yang saya rasa tidak betul. Kalau ada orang yang memilih untuk mentakrifkannya sebagai permusuhan, itu masalah mereka.

Lagipun, kalau saya belasah mereka, mereka ada ramai rakan media arus perdana dan media sosial yang mereka “wine and dine” yang boleh mempertahankan mereka dan meronyeh serta membakulsampahkan hujah saya.

Percubaan Sabotaj

Terima kasih kepada pegawai-pegawai  PNB dan anak syarikatnya yang membisikkan ke telinga saya berkenaan masalah yang mereka hadapi dan kebimbangan yang terbuku di kalbu.

Saya rasa mereka wajib menjadi peniup wisel (whistleblower) dan suara garau (deepthroat) bagi mendedahkan kebobrokan dalaman dan ancaman luaran terhadap kelangsungan PNB dan skim amanah sahamnya.

Saya tidak terperanjat kalau ada orang luar yang mahu campur tangan dalam urusan PNB kerana PNB banyak duit dan kejayaan skim amanah sahamnya membuka ruang kepada Bumiputera untuk memperbaiki taraf ekonomi mereka.

Saya pernah dengar ada agensi penyelarasan modal yang berasa sudah sampai masanya jaminan harga (price guarantee) Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) dihapuskan dan skim pinjaman membeli saham ASB ditamatkan. Saya rasa saya tahu siapa pengkhianat ini.

Pulangan ASB 2016 paling rendah dalam sejarah
 Satu perkara lagi. Dalam suasana ekonomi yang lembap dan kedudukan kewangan kerajaan yang terumbang-ambing adalah tidak mustahil PNB dan syarikat serta tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLC/GLIC) akan dipaksa mengambil alih pembiayaan kerajaan.

Saya amat bimbang melihat bagaimana bank pelaburan milik Maybank iaitu Maybank IB telah masuk ke pasaran untuk menyokong harga saham syarikat kimia Korea Selatan, Lotte Chemical Titan Holdings setelah harga terbitan awam permulaan (IPO) syarikat itu jatuh.

Maybank IB mengakui yang ia telah membeli 17.1 juta saham Lotte pada harga RM6.4718 sesaham dengan membayar RM110.67 juta. Maybank IB adalah penasihat dan penjamin (underwriter) IPO Lotte itu.

Kita telah lihat kerugian dan kesusutan modal yang dideritai oleh banyak GLIC, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, apabila mereka dipaksa menjadi pelabur utama (cornerstone investors) IPO Felda Global Ventures (FGV) Holdings Berhad pada tahun 2012.

Natijahnya, dengan PNB membayar dividen dan bonus paling rendah dalam sejarah untuk saham unit ASB bagi tahun 2016  iaitu 7.25 peratus, ia tidak berhak berboros membeli nombor plat khas kerana dengan nombor baru ia terpaksa membeli kenderaan baru juga.

Dan kalau pengurusan baru PNB berasa biasa sahaja berboros membeli nombor plat khas, apakah jaminan mereka juga tidak akan berboros dengan pelaburan dan urus niaga PBN yang lebih besar?

Mudah cakap, kita wajib mengawasi PNB seperti sewah mengawasi mangsa.

Wallahuaklam.

Friday, July 14, 2017

Harapan Selamatkan Negara Daripada Kleptokrasi



A Kadir Jasin


PERJUANGAN menyelamatkan negara daripada rejim kleptokrasi dan mengembalikan hak rakyat jelata melangkah maju setapak lagi. Alhamdulillah.

Bergambar sebelum bersidang

Portal Berita Malaysiakini melaporkan malam tadi bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi dilantik pengerusi Pakatan Harapan (Harapan).

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara Sungai Buluh dinamakan sebagai Ketua Umum manakala isterinya, Datuk  Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilantik  Presiden.

Tiga Timbalan Presiden adalah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Naib Presiden terdiri daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PPBM), Chong Chien Jen (DAP) dan Salahuddin Ayub (Amanah).

Barisan kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (Malaysian Insight)
 Seperti saya katakan dalam tampalan Facebook saya hari ini, laluan di hadapan amat mencabar dan menuntut pengorbanan.

Inilah pentas harapan untuk membebaskan negara dah rakyat jelata daripada cengkaman maut pemerintahan kleptokrasi, rasuah dan penyelewengan yang diketuai oleh Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Pakatan ini bukanlah mengenai perwatakan dan jingoisme tetapi mengenai perjuangan dan idealisme.

Moga-moga Tuhan memberkatinya. Insya Allah.

Berikut ada kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan bertanggal 13 JULAI 2017

“Menyedari bahawa rakyat mengharapkan perubahan politik negara ke arah pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan sejahtera serta sebuah kerajaan yang komited untuk melaksanakan reformasi institusi, menjalankan tadbirurus yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat; dan

Menginsafi bahawa Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional sedang berada di dalam keadaan krisis yang tenat, terpalit dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa yang amat luar biasa, dan rakyat menanggung beban;

Maka, Pakatan Harapan mengambil tanggungjawab untuk membela rakyat dan membina semula negara yang dirosakkan oleh pentadbiran Dato Sri Najib Tun Razak. Melalui kesatuan politik di antara KEADILAN, DAP, AMANAH dan PPBM, kami akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 dan membentuk kerajaan.

Oleh yang demikian, Pakatan Harapan mendokong matlamat-matlamat berikut:


1) Menurunkan kerajaan pimpinan kleptokrat yang diketuai oleh Dato Seri Najib Tun Razak;


2) Memulihkan kedaulatan dan keluhuran undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia;


3) Membatalkan dan memperbetulkan semua tindakan yang melanggar undang-undang dan menggadaikan kepentingan rakyat di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib termasuk mendapatkan kembali wang rakyat yang hilang melalui skandal besar seperti 1MDB;


4) Membebaskan semua tahanan politik dan menggugurkan semua dakwaan politik;


5) Reformasi undang-undang dan institusi yang telah disalahgunakan terutamanya berhubung kuasa Perdana Menteri; dan


6) Menghadkan penggal perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.

Sebagai tanda kesatuan politik yang lebih jitu, segar dan dinamik, Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju menerima struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang baharu iaitu:

Ketua Umum:
Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Pengerusi:
Tun Dr Mahathir Mohamad

Presiden:
YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Timbalan-Timbalan Presiden:
YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
YAB Lim Guan Eng
Tuan Haji Mohamad Sabu

Naib- Naib Presiden:
YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
YB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir
YB Chong Chieng Jen
Tuan Haji Salahuddin Ayub

Ketua Setiausaha:
Datuk Saifuddin Abdullah

Bendahari:
YB M. Kula Segaran

Sejurus mendapat mandat rakyat dalam PRU-14, dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan perkara-perkara berikut:

• Menghapuskan GST;
• Menstabilkan harga petrol;
• Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;
• Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
• Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
• Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Skandal 1MDB; dan
• Memulihkan FELDA.

Pakatan Harapan memberi komitmen bahawa proses memohon pengampunan dan pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan. Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya.

Ditandatangani oleh:

YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi PPBM

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

YB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Presiden PPBM

YB Tan Kok Wai
Pemangku Pengerusi DAP

YBhg Tn Hj Mohamad Sabu
Presiden AMANAH


Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).