Monday, October 30, 2017

Belanjawan 2018 Guna Duit Rakyat Pancing Undi



A Kadir Jasin


BELANJAWAN atau dalam bahasa Inggeris “budget” (baru-baru ini dimelayukan menjadi bajet) adalah kontrak di antara kerajaan di satu pihak dengan rakyat jelata di pihak yang lain.

Bersungguh-sungguh PM cuba yakinkan sampai berbuih mulut.
Ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi di mana rakyat jelata memilih kerajaan dan membayar cukai untuk menampung pengurusan negara.

Rakyat jelata mengamanahkan pengurusan negara kepada wakil-wakil yang mereka pilih. Wakil-wakil itu pula tidak menjalankan tugas dengan percuma. Mereka dibayar gaji, elaun dan pencen.

Mereka tidak perlu berniaga untuk hidup selesa apatah lagi mencuri, menyamun dan melanun duit rakyat jelata dan aset negara.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Duit cukai yang dibayar oleh rakyat jelata itu juga adalah untuk mengurus dan membangunkan negara.

Justeru itu, segala duit dan harta negara adalah milik rakyat jelata. Kerajaan hanya menjalankan amanah yang dibagi oleh rakyat jelata melalui peti undi lima tahun sekali.

Setiap sen duit yang kerajaan belanjakan dan setiap inci tanah yang kerajaan jual adalah duit dan tanah negara yang dimiliki secara bersama oleh rakyat jelata.

Ia bukan duit Perdana Menteri atau Menteri kewangan.
Rakyat jelata mempunyai kuasa mutlak ke atas kerajaan melalui dua cara, iaitu dengan mengundi kerajaan yang mereka sukai dan membayar cukai bagi membiayai kerajaan yang mereka pilih itu.

Wakil rakyat dan kerajaan yang mereka pilih melalui peti undi itu sekadar memegang amanah dan menjalankan tugas saja.

Melalui peti undi rakyat jelata pilih wakil mereka.
Dalam sistem demokrasi macam yang kita amalkan, kuasa rakyat adalah mutlak dan mutakhir menentukan siapa memerintah dan mentadbir negara.

Ada YB Peduli?

Wakil yang dipilih itu adalah Yang Berhormat kerana pengundi dan rakyat jelata memberikan penghormatan kepadanya untuk mewakili mereka.

Yang Berhormat tidak dipilih untuk menjadi diktator, lanun, perompak dan pencuri. Mereka tidak sekali-kali dipilih untuk membuli dan memperbodohkan rakyat jelata.

Mereka sekadar memegang amanah rakyat jelata. Untuk itu mereka diberikan upah yang secukupnya oleh rakyat jelata dan pembayar cukai supaya dengan itu mereka tidak perlu mengemis apatah lagi mencuri untuk hidup selesa.

Maka dalam konteks dan landasan itulah kerajaan menyediakan belanjawan tahunan.

Belanjawan ada dua bahagian – hasil (revenue) dan perbelanjaan (expenditure). Sebahagian besar hasil datang daripada rakyat jelata dalam bentuk cukai.

Sejak dulu lagi rakyat jelata bayar cukai tetapi mereka tidak mengeluh dan membantah kerana cukai tidak membebankan dan tidak juga menyusahkan. Tetapi selepas Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai April 2015 rakyat menderita dan ekonomi jadi tak tentu hala.

Bala bencana zaman Najib tak payah kiralah. Satu demi satu bala bencana dan kesialan menimpa negara dan rakyat jelata. Kita tertanya-tanya, di manakah berkatnya?

GST Kebanggaan Najib

Sejak Najib perkenalkan GST dengan sokongan para YB BN, semua orang yang berbelanja, tidak kira dia seorang papa kedana atau Tan Sri yang berpendapatan beribu juta akan bayar kadar yang sama.

Rakyat biasa dan rakyat miskin merasa beban GST kerana cukai kebanggaan Najib itu tidak memilih bulu. Siapa berbelanja akan kena.

Najib sangat bangga dengan GST. Dia kata GST penyelamat negara. Saya tidak pasti sama ada negara selamat kerana GST tapi yang pasti GST sangat lumayan bagi Najib.

Najib seronok sakan tapi rakyat bantah kerana GST membebankan
Dalam Belanjawan 2018 yang dibentangkan pada 27 Oktober lepas, Najib menganggarkan kutipan GST sebanyak RM43.8 bilion. Naik daripada RM41.5 bilion tahun ini.

Selain GST ada cukai lain macam cukai pendapatan, cukai korporat, cukai import, cukai eksport, cukai setem, cukai jalan, tarif dan macam-macam lagi bayaran yang rakyat jelata kena bayar. Mati pun kena cukai juga dalam bentuk cukai harta peninggalan.

Hanya sebahagian kecil saja hasil kerajaan datang daripada perniagaan macam yang dilakukan oleh Petronas, Khazanah Nasional Berhad dan 1MDB.

Petronas ditubuhkan pada zaman Almarhum Tun Abdul Razak (1974) dan untung. Tahun 2016 keuntungan Petronas RM23.5 bilion.

Khazanah yang ditubuhkan pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad (1993) pun untung juga. Tahun 2016 keuntungan Khazanah RM1.56 bilion.

Tapi 1MDB yang berupa tsunami minda Najib rugi beratus juta dan dilanda skandal bilion ringgit sampai nak sediakan akaun tahunan pun susah. Dianggarkan RM39 bilion duit 1MDB lesap kerana kerugian perniagaan dan penyelewengan.

Tapi Peguam Negara pilihan Najib, (Tan Sri) Apandi Ali kata tak ada kes. Peliknya dalam tak ada kes itu, laporan Ketua Juruaudit Negara mengenai 1MDB diOSAkan. Parlimen pun tak boleh bincang. Kalau tak ada kes pasal apa berahsia?

Angkara penyelewengan 1MDB, Edra jadi milik negara China
Bagi tahun 2018, Najib menganggarkan hasil sebanyak RM239.9 bilion tapi dia bercadang belanja RM280.25 bilion.

Perbelanjaan ada dua bahagian. Satu perbelanjaan mengurus macam bayar gaji dan pencen kakitangan awam (termasuk menteri dan wakil rakyat), selenggara kemudahan awam dan bayar balik hutang kerajaan.

Satu lagi perbelanjaan pembangunan macam untuk bina jalan raya, MRT, sekolah, hospital dan beli peralatan tentera.

Dalam belanjawan 2018, Najib cadang belanja RM234.25 bilion untuk pengurusan dan RM46 bilion untuk pembangunan.

Perbelanjaan tahun ini naik 7.5 peratus pasal Najib nak guna duit cukai rakyat jelata untuk pancing undi. Akibatnya peruntukan pembangunan dibekukan pada kadar RM46 bilion.

Najib kutip cukai daripada rakyat jelata kemudian guna duit itu untuk sogok rakyat jelata supaya undi BN. Dia kelentong kita. Dia kata kerajaan bagi duit kepada rakyat jelata.

Bukan kerajaan bagi tapi kita sendiri yang bagi. Kita bayar GST dan macam-macam cukai lagi untuk tadbir dan bangunkan negara. Najib ambil duit itu untuk sogok kita supaya undi parti dia. Dia ingat kita bangang.
Persis Cash is King

Bukan itu saja. Tak cukup dengan bayar cukai, kita kena pula tanggung hutang yang banyak yang Najib ambil atas nama kita, anak dan cucu cicit kita.

Dalam Belanjawan 2018, kerajaan kurang duit sebanyak RM40.35 bilion pasal hasil berjumlah RM239.9 bilion tapi belanja RM280.25 bilion. Jadi kena hutang RM40 juta lebih.

Kerana percaya duit adalah raja (cash is king), Najib berhutang kiri kanan. Dalam zaman dialah hutang kerajaan naik melambung – daripada kira-kira RM200 bilion zaman Tun Dr Mahathir kepada RM685.05 bilion sekarang.

Untuk jadi Raja Duit (King of Cash), Najib cadang ambil 25 peratus daripada belanjawan 2018 untuk Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang dia jaga.

Inilah keistimewaan Najib berbanding semua Perdana Menteri Malaysia yang lepas. Dia bolot kewangan negara untuk kukuhkan kedudukan dia di dalam parti dan kerajaan.

Kalau menteri mahu peruntukan tambahan silalah sembah Najib. Itulah dasarnya. Sebab itulah, (Datuk Seri) Shahidan Kassim dari awal-awal lagi kata Belanjawan 2018 adalah yang terbaik dalam dunia. Ampu jangan tak ampu.

Najib kata, Zahid kawan setia sehati sejiwa
Najib dengan penuh emosi kata Timbalan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi kawan dia sehidup semati sampai sebut dalam ucapan belanjawan.

Tapi bila sampai masa bagi peruntukan, dia bagi 6 peratus saja kepada Zahid.

Zahid ni bukan calang-calang orang. Dia keturunan Jawa. Dia TPM. Dia Menteri Dalam Negeri. Dia jaga polis. Dia pemangku Timbalan Presiden Umno. Tapi Najib bagi dia 6 persen saja.

(Datuk Seri) Hishammuddin Hussein, sepupu Najib yang jaga askar, dapat 7.3 peratus.

Najib berucap dekat tiga jam sampai berbuih mulut dan kering tekak janji itu dan ini, bagi duit kepada orang itu dan ini.

Tapi adakah kita sedar bahawa dia kurangkan peruntukan pendidikan dan latihan sebanyak 11 peratus daripada RM5.9 bilion kepada RM5.2 bilion?

Sebenarnya kalau kita dalami belanjawan Najib itu, kita akan temui banyak lagi mantera dan jampi yang tujuannya adalah untuk mengabui mata rakyat jelata kononnya dia simpati dan peduli sedangkan matlamat dia adalah memancing undi dan melincirkan peti undi dengan menggunakan duit rakyat jelata.

Itulah belanjawan "duit itu raja" dan raja duit adalah Najib. 

Wallahuaklam.

Thursday, October 26, 2017

NAJIBNOMICS: Siapa Bahagia dan Siapa Menderita?



A Kadir Jasin


NAJIBNOMICS - Pengurusan Ekonomi Najib - hidangan panas media massa arus perdana sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Najib kata, Najibnomics berjaya
Ia diuar-uarkan sebagai sangat berjaya.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Tidak dinafikan. Sekurang-kurangnya untuk pencetusnya, Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil**) Mohd Najib Abdul Razak.

Betapa tidaknya. Sebanyak AS$681 juta (bersamaan RM2.884 bilion pada kadar tukaran 25 Oktober 2017) masuk akaun peribadinya.

Anak tiri beliau (anak Datin Paduka Seri Puan Puti Reno Rosmah Mansor dengan suami pertamanya), Riza Shahriz Abdul Aziz, hidup kaya raya di Amerika.

Riza (kiri) dengan bintang filem Hollywood
Dia mendakwa duit AS$94 juta (bersamaan RM398.1276 juta) yang masuk akaunnya adalah “hadiah” daripada Aabar BVI yang kononnya berkongsi niaga dengan 1MDB.

Sahabat baik Najib, Jho Low tak kira lagilah besar kekayaannya. Kapal layarnya saja berharga AS$250 juta (RM1.058 bilion). Dia inilah arkitek putar memutar duit 1MDB.

Kapal bilion ringgit Jho Low baru dikesan di Sabang, Indonesia
Najibnomics yang hendak transformasikan Malaysia jadi negara pendapatan tinggi menang menguntungkan Najib, ahli keluarga dan kawan rakannya.

Tetapi untuk rakyat jelata lain cerita.

Nilai ringgit merudum. Inflasi semakin tinggi. Dibebankan pula dengan GST. Pengangguran makin menjadi-jadi. Peruntukan kesihatan  dan pendidikan tidak mencukupi. Peralatan bedah di hospital pun sudah terpaksa ditebus guna.

Pengarah Kesihatan kata, ada peranti perubatan kegunaan tunggal yang digunakan lebih daripada sekali. Menteri pula kata bukan kurang ubat-ubatan tapi isu bekalan.

Maaf cakaplah. Putar belit seakan-akan orang mabuk bahan khayal. Jangan-jangan tak bayar pembekal tak?

Balik Ke Zaman Dulu

Malah Najibnomics telah bawa sesetengah rakyat jelata balik ke zaman sebelum merdeka.

Zaman itu datuk saya (tok wan) pandu prewet (kereta persendirian) mengangkut penumpang. Waktu itu teksi tak masuk kampung dan perkhidmatan bas Mara belum ada.

Dia buta huruf tetapi kerana pandai memandu kenderaan bermotor dia dihormati dan boleh cari pendapatan tambahan.

Gambar hiasan: Tok Wan saya pernah meliki Austin A40 seperti ini
Sekarang beratus ribu lulusan universiti yang dibiayai ibu bapa, JPA dan Mara tidak ada kerja.

Macam tok wan saya, mereka guna kereta sendiri angkut penumpang bagi pihak Grab dan Uber.

Dulu kita hairan (dan pandang hina) bila doktor perubatan, jurutera dan akautan bawa teksi di India, Pakistan dan Filipina.

Sekarang, pada zaman Najibnomics, anak cucu kita sendiri yang lulus kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan dan macam-macam lagi jadi pemandu Grab, Uber dan teksi. Lebih baik pandu Grab, Uber dan teksi daripada mencuri duit 1MDB.

Najibnomics adalah mengenai transformasi bagi menjadikan Malaysia negara pendapatan tinggi, pasaran terbuka, bekalan dan permintaan menentukan harga, penghapusan subsidi dan pelaksanaan GST yang kononnya bertunjangkan inovasi, kreativiti dan produktiviti tapi tak habis-habis cuti.

Penulis buku “Najibnomics Transforming Malaysia (sic) To A High-Income Nation”, Irwan Shah Zainal Abidin, berkata GST adalah inti pati Najibnomics. (The Goods and Services Tax (GST): The crux of Najibnomics).

Najibnomics digemari penganalisis dalam dan luar negara kerana ia memberi kuasa kepada pasaran dan menghapuskan subsidi yang mereka anggap mencacatkan ekonomi.

Jadi tidak hairanlah kalau di saat-saat rakyat jelata menderita, Najibnomics dipuja dan dipuji oleh golongan kapitalis dan bourgeoisie.

Wallahuaklam.
 
** Adalah gelaran tertinggi masyarakat Bugis di daerah Gowa, Sulawesi yang diberikan kepada Najib pada tahun 2005. Mengikut catatan sejarah, I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Sultan Abdul Djalil Tumenanga ri Lakiung adalah salah seorang daripada putera Sultan Abdul Djalil yang merantau ke Pahang dan merupakan leluhur Najib.

Tuesday, October 17, 2017

OBOR: Bahaya Dalam Cahaya



A Kadir Jasin


ONE Belt One Road (satu kawasan satu laluan) atau singkatannya OBOR memberikan China raison d’être (alasan) untuk mengeksport politik, ekonomi dan kekuatan ketenteraannya tanpa menakutkan dunia.

Tahun 2013 Perdana Menteri melancarkan projek pembesaran Pelabuhan Kuantan
Ia adalah cetusan ilham pemimpin agung Cina, Xi Jinping pada tahun 2013 di mana segala-gala bermula di Beijing. Dalam erti kata lain, Beijing menjadi ibu kota dunia yang baru.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

OBOR adalah anjakan kepada dasar keterbukaan yang diperkenalkan oleh mendiang Deng Xiao Peng. Deng mengakui kesilapan ideologi dan dasar era Mao Tze Dong di mana angka rasmi mengatakan 20 juta rakyat China mati kebuluran. Tetapi ada anggaran ilmiah mengatakan jumlah kematian mencapai 45 juta.

Cara paling mudah bagi kita memahami dasar dan rancangan OBOR adalah dengan memahami pembelian 49.9 peratus saham Proton oleh Geeley, pembelian penjana elektrik bebas (IPP) milik 1MDB oleh China Nuclear, pembinaan pelabuhan laut dalam dan zon industri China di Kuantan, cadangan pembinaan pelabuhan laut dalam di Melaka, projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), projek hartanah raksasa di Iskandar Malaysia dan penjualan kelengkapan perang China kepada Malaysia.

Semua urus niaga dan projek di atas adalah sebahagian daripada OBOR yang terasnya adalah pembangunan infrastruktur dan pengangkutan.

China tidak ada pilihan melainkan mengembangkan pengaruh politik, ekonomi dan ketenteraannya ke luar negara kerana ia tidak lagi boleh berdiri bersendirian.

Walaupun China cuba mengawal bilangan penduduknya dengan mengamalkan dasar sebuah keluarga seorang anak, namun bumi China tidak tetap tidak mampu menampung pertumbuhan itu.

China terpaksa memandang melepasi sempadannya dan ia kini cukup yakin bahawa perkembangan ekonominya serta perluasan ke luar negara membolehkannya menggugurkan dasar sebuah keluarga seorang anak mulai tahun 2015.

Dengan penduduk kira-kira 1.35 bilion, China menampung sekitar 22 peratus penduduk dunia tetapi mempunyai hanya kira-kira 10 peratus sahaja tanah pertanian. Sebab itulah China amat terdedak kepada masalah kekurangan makanan.

Ketidakseimbangan ini menjadi semakin buruk kerana masyarakat China menjadi semakin makmur dan memerlukan lebih banyak makanan serta bahan-bahan mentah industri.

Kadar kelahiran meningkat dan jangka hayat semakin panjang tetapi tanah pertanian menjadi semakin sempit akibat kemusnahan alam sekitar dan kemaraan padang pasir.

Tahun lalu penduduk China meningkat 7.9 peratus atau 17.86 juta orang hasil penarikan balik dasar sebuah keluarga seorang anak manakala kawasan seluas Melaka dan Pulau Pinang ditelan padang pasir setiap tahun.

Jadi China tidak ada pilihan selain daripada meluaskan wilayah kepentingan ekonomi melapasi sempadannya dan mengeksport penduduknya secara sementara atau kekal.

Rajyat China kini merantau hingga ke Afrika untuk berniaga
Malaysia Di Mata Naga

Walaupun OBOR meliputi benua Asia, Eropah dan Afrika, namun tidak ada negara yang lebih strategik di dalam pelaksanaannya daripada negara kita Malaysia.

Ini adalah kerana Malaysia relevan dan penting dalam kedua-dua laluan OBOR, iaitu jalan sutera darat (Silk Road) dan jalan laut (Silk Road of the Sea). Oleh sebab itulah projek-projek OBOR di Malaysia merangkumi laut dan darat.

Kedudukan Malaysia yang strategik di antara Laut China Selatan dan Lautan Hindi menjadikannya faktor wajib kalau OBOR hendak dijayakan. Jadi tidak hairanlah kalau China begitu beria-ia dan murah hati membiayai projek-projek prasarana laut dan darat di Malaysia.

Dengan mengawal Selat Melaka, China boleh mengawal pergerakan perdagangan di Laut China Selatan, Lautan Hindi dan mengembangkan layar armadanya ke seluruh dunia.

Misalnya, pelabuhan milik bersama Malaysia-China di Kuantan boleh menjadi pelabuhan terakhir dalam rangkaian pertahanan pulau yang sedang dimajukan oleh China. Kuantan boleh menjadi pangkalan hadapan (forward base) dalam pertahanan lautnya.

Konsesi 30 tahun pelaburan tambahan Kuantan dimiliki Malaysia-China
Untuk menguasai Lautan Hindi, China bercadang membina sebuah pelabuhan air dalam di Melaka – negeri yang menjadi persinggahan utama Laksamana Zheng He (Cheng Ho) pada abad ke-15 (di antara 1406 dengan 1433).

Melaka dipilih bukan sahaja kerana faktor sentimental lawatan Xheng He tetapi juga kerana di situlah Selat Melaka paling sempit. Dalam masa krisis, sekatan boleh didirikan dengan mudah bagi mencekik perkapalan melalui Selat Melaka.

Walaupun OBOR dipromosikan sebagai kerjasama ekonomi berskala besar namun ia tidak mengabaikan aspek ideologi. China adalah penghulu ideologi komunisme pasca keruntuhan Empayar Soviet.

Sekarang China adalah pemacu utama ideologi komunis. Kuasa mutakhir di China adalah Parti Komunis China (PKC). Semua dasar dan perancangan dilakukan oleh PKC melalui biro politik (politbiro) dan disahkan oleh Kongres Rakyat.

Instrumen kuasa PKC pula adalah Tentera Pembebasan Rakyat (PLA). Ia adalah pasukan tempur terbesar dunia dengan kira-kira dua juta anggota.

Secara tidak disedari penyusupan ideologi ini telah pun bermula apabila PKC menandatangani perjanjian kerjasama dengan MCA tahun lalu dan tahun ini Umno pula dijemput untuk berucap di kongres PKC di Beijing.

PKC memuji sumbangan Umno dalam menjayakan OBOR. Ini adalah perkembangan yang cukup sensasi kerana selama lebih 40 tahun PKC menjadi penyokong tegar kepada fahaman komunis di Tanah Melayu dan pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) (1948-1989).

Pengaruh luar biasa China terhadap Putrajaya dikhuatiri akan mengganggu gugat politik domestik Malaysia. Ini diperkukuhkan oleh kenyataan bekas Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang semasa mengunjungi Setiausaha Agung Umno, Adnan Mansor baru-baru ini.

Adnan Mansor (kanan) bersama bekas Duta China Huang Huikang
Katanya PKC melihat Umno dan Barisan Nasional bukan hanya sekadar rakan dalam jalinan parti politik tetapi juga sebagai sahabat serantau merentasi hubungan politik.

Kenyataan partisan ini amat membimbangkan kerana jelas PKC tidak berkecuali lagi dalam bidang politik Malaysia.

Malah sudah ada laporan dan analisis media serantau yang mengatakan perhubungan akrab dan pergantungan Pentadbiran Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, kepada China akan mempengaruhi pilihan raya umum akan datang.

Naga Lapar

Tidak ada negara di dunia yang boleh menolak atau mengetepikan peranan China dalam segala bidang. Hatta Amerika pun kini banyak bergantung kepada China.

Ini tidak menghairankan kerana selepas Amerika, China adalah kuasa ekonomi terbesar dunia.

Namun persoalannya, apakah kita menjadi rakan perdagangan yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi seperti yang menjadi dasar kita sebelum ini atau kita melutut menjadi hamba kepada China?
Kita boleh berniaga dengan mana-mana negara pun tanpa mengorbankan kedaulatan dan keselamatan kita.

Tetapi kalau kita menyerah kepada hegemoni kuasa besar, khususnya China, kita janganlah kecewa jika suatu hari nanti kita menjadi negara hamba (slave nation).

Pergantungan yang melampau kepada China telah pun menyebabkan beberapa buah negara di Asia dan Afrika ‘tertakluk” atau menanggung beban hutang yang teruk.

Awal tahun ini Zimbabwe menerima pakai mata wang China yuan sebagai mata wang nasional semata-mata untuk mendapat potongan hutang AS$40 juta (kira-kira RM172 juta).

Di Asia pula Sri Lanka tidak lagi mampu membayar balik hutang kadar tinggi kepada China untuk membina pelabuhan dan lapangan terbang yang kekurangan pelanggan.

Kontraktor projek-projek ini adalah China. Akibatnya Sri Langka terjerumus ke dalam perangkap hutang.

Aliran di negara kita pun tidak banyak berbeza. Pinjaman diperoleh dari China pada kadar tinggi (kadar pasaran). Projek-projek dibina oleh kontraktor dari negara China yang membawa masuk pekerja China. Di pihak yang lain pula kelestarian (sustainability) projek China tidak begitu meyakinkan.

China akan memberikan dan membiayai apa yang kerajaan Malaysia perlukan kerana kalau kita tidak dapat bayar balik hutang, China akan ambil alih projek-projek itu dan dengan itu ia dapat bertapak secara kekal di negara kita. 

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).