Sunday, April 22, 2018

Marilah Sama-Sama Bina Semula Malaysia


A Kadir Jasin

سْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

MINTA maaf. Itulah tema tampalan ringkas saya kali ini. Saya mohon maaf kerana sangat lama tidak menyiarkan rencana baru. Malah membaca dan menyiarkan komen para pembahas pun lambat.

Sambil tolong PH dapat makan kenduri
Saya rasa ramai pembahas dan pembaca telah meneka sebabnya.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.] 

Dalam pilihan raya umum (PRU) kali ini, saya terlibat terus. Satu sejarah bagi diri saya kerana inilah kali pertama sejak saya terlibat secara langsung.

Bagi yang belum maklum, saya terlibat dengan dua cara. Pertama, saya adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Seperti umum sudah maklum, ketua Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), Surayati binti Ibrahim, telah bubarkan (sementara) PPBM selama 30 hari mulai 5 April lalu.

Macam diatur, sebaik saja ROS bubarkan PPBM, Perdana Menteri “caretaker”, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) aka Pendekar Bugis, Mohd Najib Abdul Razak, pun umumkan pembubaran Parlimen.

Saya tidak tahu apa lagi pendekar Bugis akan buat bagi menggagalkan usaha kita menyelamat dan membina semula Malaysia.

Cuma kita kena ingat, dia bagi amaran “jangan cari pasal dengan pendekar Bugis.” Dulu dia kata dia pahlawan Bugis "layar dikembang, sauh dilabuh". Sekarang dia kata dia pendekar. Nampak macam turun pangkatlah. Boleh tonton DI SINI.

Kedua, saya keluar bekerja bagi pihak Pakatan Harapan (PH). Dalam seminggu dua ini saya telah beberapa kali ke Pahang, Perak, Kedah dan Melaka membantu bakal calon PH dan jentera pilihan raya mereka.

Semalam saya iring bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, melawat Langkawi bagi melihat dan memberi semangat kepada jentera pilihan raya PH di pulau pelancongan itu.

Seperti kita tahu, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan bertanding kerusi Parlimen Langkawi, di bawah lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tun dan semua calon PH bertanding guna lambang PKR
Berbalik kepada Daim, mungkin ada yang sudah lupa bahawa dia jadi Menteri Kewangan dua kali di bawah Dr Mahathir dan pengerusi pertama Lembaga Kemajuan Langkawi (Lada).

Daim berjanji akan sumbang ilmu dan pengalaman bantu kerajaan PH selepas PRU ini, Insya Allah.

Tun Daim (bertopi) bersama petugas pusat operasi pilihan raya Langkawi
Saya tengok ada juga pembahas kita macam "pompuan" yang terlibat berkempen bagi pihak Barisan Nasional (BN). Dalam bahasa Inggeris, saya kata “good luck”.

Akhir kalam, saya ucap banyak-banyak terima kasih kepada semua lapisan masyarakat yang menunjukkan kerakanan dan muhibah kepada saya dalam pertemuan dengan mereka.

Marilah sama-sama kita tumbangkan kerajaan kleptokrasi Umno/BN dan Bina Semula Negara. Isyak Allah.

Monday, April 09, 2018

Peristiwa Yang Akan Mengubah Sejarah


A Kadir Jasin

سْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

BEBERAPA perkembangan penting telah berlaku dalam masa beberapa hari lalu yang berkemungkinan mengubah sejarah negara kita.

ROS Surayati tersenyum lebar "membubarkan" PPBM
Pada 5 April, Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah “membubarkan” Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.] 

Pada 6 April parti-parti Pakatan Harapan (PH), iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan PPBM telah mengumumkan secara rasmi penggunaan simbol PKR sebagai lambang tunggal PH untuk pilihan raya umum ke-14.

Pada hari yang sama Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 7 April.

Dengan itu kerajaan Barisan Nasional (BN) hilang mandat dan wujud sebagai kerajaan sementara atau “caretaker government” sahaja.

Pada 8 April, Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat kenyataan peribadi yang sekali gus mencampakkan beliau ke dalam gelanggang politik.

Menurut laporan yang tular di Internet, beliau telah membuat “kenyataan politik” yang antara lain ditujukan kepada Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad. Boleh baca lanjut DI SINI.

Keputusan ROS, Surayati binti Ibrahim, dicabar oleh kepemimpinan PPBM dan peguam-peguam mereka. Mereka mengambil pendirian arahan ROS tidak jelas dan tidak sah.

Justeru itu PPBM akan terus berfungsi seperti biasa sambil menunggu hasil rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zabid Hamidi, dan keputusan Semakan Perlembagaan (Constitutional Review) yang mereka failkan di mahkamah.

Perintah ROS berbunyi: “Dengan ini diperintahkan bagi sementara supaya pendaftaran pertubuhan yang namanya tersebut di atas dibubarkan mulai dari tarikh perintah ini."

Ikut kefahaman PPBM dan panel peguamnya, perintah itu adalah sementara. Dalam bahasa Inggeris “temporary order”. Perintah sementara itu pula merujuk kepada pendaftaran PPBM.

Mengikut pengertian umum atau semantik, pendaftaran sesebuah pertubuhan hanya boleh digantung atau dibatalkan. Tetapi dalam surat ROS itu pendaftaran PPBM “dibubarkan”.

Berkorban Demi Rakyat

Dalam perhimpunan raksasa PH di Pasir Gudang, Johor pada Jumaat malam, Dr Mahathir mengumumkan logo PKR sebagai lambang tunggal PH untuk PRU ke-14 ini.

Logo PKR menjadi lambang PRU PH
Pengorbanan besar dan langkah berani oleh parti-parti PH menyetujui satu lambang bersama adalah bukti konkrit iltizam mereka menyelamatkan negara dan rakyat jelata daripada kerajaan kleptokrasi Umno/BN.

Yang menakjubkan adalah parti-parti PH secara pantas dan satu hati mengetepikan egoisme dan keindividuan dengan menawarkan hanya satu lambang kepada pengundi.

Pastinya satu badai emosi yang hebat telah berlaku kepada sebuah parti lama seperti DAP dalam mengambil keputusan untuk tidak menggunakan simbol roket di Semenanjung. Lambang itu telah mereka gunakan sejak PRU 1969.

Namun begitu kepemimpinan PH tidak menolak kemungkinan pelbagai alasan dan sekatan akan dibuat oleh tali barut, aparatus dan “apparatchik” kerajaan bagi menyukarkan penggunaan simbol tunggal itu.

Mereka tahu logo tunggal akan memudahkan pengundi membuat pilihan dan dengan itu memperkukuhkan peluang PH meraih sokongan rakyat jelata.

Dari Istana Ke Arena

Tindakan TMJ meredah masuk ke arena politik telah menjadi tular (viral) dan mencetuskan reaksi massa di kalangan penggiat media sosial.

Saya rasa saya tidak perlu mengulas lanjut hal ini selain mengatakan bahawa garis yang memisahkan raja dan rakyat jelata sebenarnya amat tipis kerana raja juga adalah manusia.

Mitos raja dari kayangan tidak lagi dihayati oleh generasi muda khasnya dan rakyat jelata amnya. Bagi mereka cerita Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun adalah cerita penglipur lara semata-mata.

Sesiapa sahaja, sama ada anak raja atau si papa, kalau dia meredah masuk ke gelanggang politik maka dia mestilah bersedia ditendang terajang.

Dalam dunia digital, sukar bagi sesiapa pun – termasuk raja dalam istana – berlindung di sebalik tembok undang-undang dan adat resam jika mereka memilih untuk terjun ke gelanggang politik.

Rakyat jelata tidak sebodoh yang dianggap oleh para pembesar Umno/BN dan kesetiaan mereka kepada raja bukan emosi menggila tetapi berlandaskan perlembagaan negara.

Wallahuaklam.

Monday, April 02, 2018

Majoriti Kakitangan Awam Profesional dan Berkecuali


A Kadir Jasin

سْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

ADA orang marah dan melemparkan berbagai-bagai tuduhan terhadap kakitangan awam khususnya anggota polis.
 
Majoriti anggota polis sekadar menjalankan perintah
Mereka marah kepada polis kerana menangkap penentang-penentang kerajaan dan menghalang kegiatan yang dianjurkan oleh parti-parti pembangkang.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.] 

Begitu juga dengan penjawat awam. Mereka turut dituduh berlaku tidak adil terhadap pembangkang.

Memang ada kakitangan awam khususnya yang berpangkat tinggi yang bermain politik dengan menjadi ejen dan kuda tunggangan Umno/Barisan Nasional (BN).

Malah kita tahu ada antara mereka yang dilantik khusus untuk melindungi Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak, anggota Kabinet dan para pembesar Umno/BN daripada pelbagai dakwaan jenayah.

Kita sudah lebih daripada maklum mengenai skandal pemecatan Peguam Negara, (Tan Sri) Gani Patail pada tahun 2015 atas alasan beliau tidak sihat semata-mata untuk menyekat tindakan mahkamah ke atas kes-kes berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Beliau bukan setakat segar-bugar malah mampu kembali mengamalkan kerjaya guaman dengan membuka syarikat guaman sendiri pada tahun 2016. Dan kita tahu semua keputusan AG baru, (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali, bersangkutan 1MDB adalah bagi melindungi Najib.

Apandi membebaskan Najib daripada skandal 1MDB
Kita juga tahu pelantikan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Kehakiman dilakukan atas dasar politik.

Begitu juga dengan pelantikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan dan beberapa jawatan utama lain yang dibuat atas pertimbangan politik khususnya untuk melindungi Najib.

Apel Busuk

Adalah tidak adil dan tidak masuk akal kita membuat andaian dan menuduh bahawa kesemua 1.6 juta anggota perkhidmatan awam, polis dan tentera adalah tali barut Umno/BN.

Sebaliknya saya yakin ramai daripada mereka bersikap berkecuali dan profesional. Mereka tidak mencampuradukkan tugas mereka sebagai penjawat awam dengan politik kepartian.

Tetapi apabila pegawai-pegawai atasan mereka menjadi tali barut dan kuda tunggangan Umno/BN, sedikit sebanyak mereka turut terseret dan terpalit.

Saya amat yakin ramai anggota polis, pendakwa raya dan kakitangan penjara keberatan untuk bertindak terhadap penentang kerajaan. Mereka terpaksa bertindak kerana arahan daripada ketua-ketua mereka yang pro-Umno/BN atau yang tidak profesional.

Kita tahu ada di kalangan penjawat awam yang mempunyai perkiraan lain selain daripada berkhidmat untuk rakyat jelata seperti kenaikan pangkat, anugerah dan gelaran.

Saya sendiri, melalui pembabitan saya dalam politik sejak dua tahun kebelakangan ini,  mendapati ramai anggota polis bertindak secara profesional apabila ditugaskan untuk memantau dan melaporkan mengenai ceramah-ceramah politik.

Sebenarnya mereka tahu lebih daripada rakyat biasa mengenai apa yang sedang berlaku di tempat-tempat kerja mereka seperti pemotongan peruntukan, kekurangan, kelengkapan dan campur tangan orang politik.
 
Mereka juga pastinya mendengar keluhan rakyat jelata dan turut berasa beban GST, kejatuhan nilai mata wang dan kenaikan kos sara hidup.

Natijahnya, seperti rakyat lain mereka juga merasa kesempitan hidup dan pelbagai masalah yang timbul akibat pengurusan ekonomi dan kewangan yang lemah, rasuah dan menyeleweng.

Gula-gula pilihan raya dan ancaman bahawa undi mereka diketahui oleh kerajaan tidak akan memberi kesan sekiranya mereka faham yang gula-gula yang mereka terima itu adalah hasil keringat mereka sendiri dan undi tidak dapat dikesan kepada individu.

Mereka juga boleh membandingkan bagaimana rakan-rakan mereka di dua buah negeri yang diperintah oleh pembagkang iaitu Selangor dan Pulau Pinang menikmati ganjaran yang lebih baik.

Melainkan mereka memilih untuk menjadi pemakan dedak dan kuda tunggangan Umno/BN, kakitangan awam akan kekal profesional, berkecuali dan akan mengundi dengan bebas.

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).