Monday, January 22, 2018

Umno-PAS: Atas Lain, Bawah Lain

A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

MULA-MULA sekali terima kasih kepada pemuda Melayu yang menemui saya di Ceramah Perdana “Mai Dengaq, Balik Habaq” Pakatan Harapan/PPBM di Bukit Jambul, Pendang, Jumaat lalu.

Orang Umno dan PAS pun ramai mai dengaq
Dengan suara gementar, dia meminta maaf kerana mengganggu saya. Katanya dia ada satu soalan besar yang mengacau fikirannya.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Ibunya guru taman didikan kanak-kanak (tadika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Dia berkata, ibunya diberitahu oleh orang Umno sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah, Pakatan Harapan (PH) akan tutup Kemas dan kakitangan Kemas akan dibuang kerja.

Saya kata kepadanya, itu tidak betul. Sebaliknya PH akan memperkukuh dan memperluaskan sistem pendidikan - daripada prasekolah hingga ke peringkat paling tinggi - dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan bukan membuang orang.

Cerita pemuda itu hanyalah satu daripada pelbagai jenis ugutan dan ancaman yang digunakan oleh Umno-BN bagi menakut-nakutkan pengundi agar tidak berhijrah menyokong PH.

Kalau di peringkat atas menteri memberi amaran dan pengancam kakitangan awam agar terus memperhambakan diri kepada Umno-BN atau menderita hukuman dan deraan, di peringkat bawah pun macam itu juga. Malah lebih teruk.

Bapak-bapak kepala Umno-BN yang bermentaliti kelas “kepala bapak kau” (meminjam ungkapan Perdana Menteri, Perdana Menteri, ((Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil)), Mohd Najib Abdul Razak) tidak lagi membezakan di antara kerajaan dan parti.

Dalam kegelabahan mereka kerana bayang-bayang kekalahan semakin terang, mereka menganggap dan melayan kakitangan awam sebagai hamba Umno-BN dan bukan sebagai kakitangan awam yang ada kehormatan.

Di dalam gelap saya juga dihampiri hadirin yang berkata mereka bersimpati dengan Tun Dr Mahathir dan PH walaupun mereka masih bersama Umno dan PAS.

Saya faham sentimen mereka. Saya dilahirkan dalam keluarga Umnu dan menjadi ahli Umno Bahagian Pendang selama lebih 30 tahun hingga tahun 2015 apabila saya menarik diri secara rasmi.

Saya faham sangat pentingnya afiliasi parti, sama ada dengan Umno atau PAS. Menjadi ahli atau penyokong salah sebuah parti itu adalah sebahagian daripada sistem sosial.

Setiap individu, di saat-saat penting kehidupan dan kematiannya, tidak dapat tidak akan dikaitkan dengan afiliasi politiknya. Si anu itu orang Umno, si polan pula orang PAS.

Di kawasan inilah, dalam pilihan raya umum (PRU) 1969, kempen mengkafirkan orang Umno oleh PAS memberi kesan besar Umno apabila wakil rakyat Perikatan masa itu, Dr Mahathir kalah kepada calon PAS, Haji Yusof Rawa.

(Hari ini, anak Almarhum Yusof Rawa, Yang Berhormat ((Datuk) Dr Mujahid Yusof Rawa, adalah di antara musuh politik Dr Mahathir yang telah berubah menjadi rakan seperjuangan demi menyelamatkan Malaysia.)

Tetapi hakikat bahawa pada malam Jumaat lepas banyak orang Umno dan PAS secara diam-diam, sambil bercangkung dalam gelap, mendengar ucapan pemimpin PH adalah satu perubahan luar biasa.

Ertinya mereka tidak lagi taasub kepada sistem masyarakat yang mengikat mereka kepada Umno dan PAS.

Mereka mahu mendengar cerita PH kerana mereka juga terhimpit dan tersepit dengan kesempitan hidup yang disebabkan oleh salah urus ekonomi dan penyelewengan oleh kerajaan kleptokrasi Najib.

Kalau ramai ahli dan penyokong Umno tidak lagi mampu atau mahu mempertahankan kepemimpinan parti dan kerajaan, ahli dan penyokong PAS pula digugat imannya oleh cerita-cerita kehidupan mewah sesetengah ulama mereka setelah dikaitkan dengan sogokan oleh Najib.

Soal keakraban luar biasa di antara Presiden mereka, (Tuan Guru Datuk Seri) Abdul Hadi Awang dengan Presiden Umno  masih menjadi punca kekeliruan bagi ramai ahli dan penyokong PAS kerana di peringkat akar umbi Umno masih berupa musuh ketat mereka.

Walaupun kebencian mereka cuba diarahkan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) namun dalam pemikiran mereka, musuh tradisi mereka adalah Umno.

Di saat-saat bapak-bapak kepala mereka bersekedudukan dengan Umno dan dikaitkan dengan gaya hidup mewah dan hedonistik, ahli dan penyokong biasa PAS bukan sahaja tidak menikmati habuan itu sebaliknya ditekan oleh kesempitan hidup.

Manakala Najib tidak mahu atau tidak mampu menafikan dakwaan yang dia telah memberi rasuah kepada watak-watak tertentu dalam PAS, Abdul Hadi terpaksa bertungkus-lumus cuba membersihkan nama PAS.

Malangnya, Abdul Hadi mungkin sudah termasuk perangkap Najib apabila dia memfailkan saman terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, di London.

Dalam bahasa mudah, Abdul Hadi telah diperangkap untuk melakukan kerja kotor bagi pihak Najib.

Keris panjang: Abdul Hadi terpaksa berlagak bebas dan garang
Sebagai tindak balas kepada reaksi negatif persekongkolan dengan Umno-BN itu, Abdul Hadi beberapa hari kebelakangan ini terpaksa berlagak bebas dan berani dengan mengisytiharkan yang PAS akan bertanding 140 kerusi Parlimen dan memerintah Selangor mengikut syariat Islam.

Kesimpulannya, macam Umno juga, PAS tidak boleh lagi memperkotak-katikkan orang Melayu seperti dulu.

Orang Melayu kampung, peneroka Felda dan penghuni perumahan rakyat tidak boleh lagi dijual murah oleh Umno dan PAS.

Mereka tidak boleh lagi diperbudak-budakkan dan mereka mempunyai lain pilihan - Pakatan Harapan.

Wallahuaklam.

Tuesday, January 16, 2018

Penyelesaian Ajaib Isu Kehilangan Tanah Felda Jalan Semarak



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

ADAKAH penyelesaian skandal “kehilangan” hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semudah itu?

Pengerusi Felda Shahrir Samad senyum terima "penyelesaian"
Adakah kes itu dikira selesai semata-mata hanya kerana hak milik ke atas 16 lot tanah yang dikatakan hilang itu sudah dipulangkan?

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Kalau itulah caranya, nampak sangat bahawa ada silap mata dalam “kehilangan” dan “perolehan balik” tanah bernilai tinggi itu.

Hanya orang betul bendul dan tidak tahu apa-apa sahaja akan percaya penyelesaian ajaib ala wayang kulit itu.

Jadi elok sangatlah audit forensik dan siasatan polis ke atas bagaimana sebuah syarikat persendirian berjaya mengambil alih pemilikan tanah itu, diteruskan seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak.

Dalam satu pesanan “Tweet” hari ini yang dilaporkan oleh New Straits Times atas talian, Najib berkata dia bersyukur 16 lot tanah itu dipulangkan tanpa sebarang kos.

Inilah yang menakjubkan. Bagaimanakah tanah yang dianggarkan bernilai RM270 juta, dengan nilai terbangun kasar (gross development value) melebihi RM1 billion, boleh dipulangkan tanpa kos?

Kalau pemindahan hak milik tanah itu dilakukan dengan telus mengikut undang-undang, tentulah ada perjanjian dan pembayaran.

Bila ada perjanjian dan pembayaran maka pemindahan balik hak milik kepada Felda pun mesti ada perjanjian dan pembayaran.

Tetapi macam Najib sendiri akui, pemulangan hak milik tanah itu kepada Felda tidak melibatkan sebarang bayaran atau kos.

Jadi apakah jenis urusan jual-beli yang menyebabkan tanah itu terlepas daripada tangan Felda dan kemudiannya dimajukan menjadi Kuala Lumpur Vertical City?

Apakah sebenarnya syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd yang memulangkan 16 lot tanah itu kepada Felda dan siapakah di belakangnya?

Apa yang kita ketahui daripada laporan media adalah ia diwakili oleh seorang ahli lembaga pengarahnya bernama (Datuk) Marina Hashim.

Carian Internet mendapati Synergy Promenade ini adalah syarikat kontraktor dan peniagaan umum yang ditubuhkan pada tahun 2000.

Kalau Marina Hashim itu sama dengan wanita yang dipersembahkan oleh majalah Nona pada 18 September tahun lalu, maka dia adalah seorang jelitawan dan ibu dalam usia 40-an.

Dalam laporan itu, majalah tersebut memetik salah seorang anaknya, Muhammad Nuraiman Rayyan Erwazri, sebagai berkata ibunya “bekerjasama rapat dengan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).” Sesiapa yang berminat boleh baca DI Sini.

Jadi audit forensik dan penyiasatan polis yang Najib sebutkan itu perlulah memastikan apakah bentuk kerjasama rapat di antara wanita itu dengan pengurusan Felda.

Memandangkan banyaknya kejadian berbentuk skandal dan rasuah yang berlaku dalam Felda dan Felda Global Ventures (FGV) yang semuanya mengancam kepentingan peneroka Felda serta generasi kedua Felda, maka wajiblah skandal tanah Jalan Semarak ini disiasat hingga ke akar umbi.

Manalah tahu mungkin benar-benar wujud apa yang dipanggil “FGVMafia” dalam FGV dan Felda yang menjadi dalang menghisap darah peneroka.

Wallahuaklam.

Sunday, January 14, 2018

Mustapa Berontak Terhadap Najib?



A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

APAKAH benar Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, (Datuk Seri) Mustapa Mohamed aka Tok Pa, telah memberontak terhadap bosnya (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak?

Mustapa dengan pemimpin Umno Kelantan
Banyak orang mungkin terlepas pandang akan keberanian luar biasa yang tiba-tiba dipamerkan oleh Mustapa di arena politik Umno sejak kebelakangan ini.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Ahli Majlis Tertinggi Umno merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu telah membuat beberapa kenyataan yang inti patinya adalah Barisan Nasional akan berusaha keras merampas Kelantan daripada PAS dalam pilihan raya umum tahun ini.

Boleh jadi banyak orang tidak perasan atau tidak begitu peduli kerana Mustapa telah membuat kenyataan yang serupa dalam beberapa PRU sebelum ini tetapi gagal merampas balik negeri itu.

Hanya mereka yang mengetahui latar belakang kepada kenyataan Mustapa itu sahaja akan menyedari keberanian beliau secara tiba-tiba itu.

Apa latar belakangnya?

Jawapannya adalah pendirian Presiden Umno berkaitan Kelantan. Beliau dikhabarkan telah membuat keputusan “menyerahkan” Kelantan kepada PAS sebagai sebahagian daripada rancangan kerjasama pilihan raya Umno-PAS.

Dikhabarkan lagi, keputusan itu dibuat secara bersendirian tanpa berunding dengan kepemimpinan Umno Kelantan kecuali sekerat dua yang intim dengan beliau. Ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati para pemimpin Umno Kelantan yang lain, termasuk Mustapa.

Itulah konon ceritanya.

Sumber bukan Umno dan bukan PAS tetapi rapat dengan Mustapa berkata, beliau tekad untuk membantah tindakan unilateral Najib itu dan ini dilakukannya dengan meminta bantuan putera politik Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah.

Najib tidak boleh kata “no” kepada Ku Li sama ada kerana hormat kepada mentornya itu atau mengakui bahawa dalam Umno, Ku Li masih ada sedikit kuasa untuk “eye-balling” (jege) beliau.

Jadi suka tidak suka, Najib dikatakan terpaksa berunding dengan Ku Li dan Mustapa di rumah Ku Li di Jalan Langgak Golf off Jalan Tun Abdul Razak.

Berbalik kepada apa yang disifatkan sebagai perjanjian rahsia Najib-PAS itu, beliau dikatakan telah bersetuju untuk tidak cuba merampas Kelantan daripada PAS. Sebaliknya bersedia memberi laluan mudah supaya PAS menang 40 kerusi Dewan Rakyat.

Apakah ini benar?

Banyak orang mungkin cenderung mempercayai teori ini memandangkan keakraban Najib dengan teman sehati sejiwanya, (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Tujuan Najib adalah menjadikan PAS “kaki kacau” kerana beliau lebih takut kepada Pakatan Harapan (PH), khususnya PPBM, daripada PAS. Najib tahu PAS lemah selepas penyingkiran golongan bukan agama dan penubuhan parti Amanah.

Kita lihat bagaimana Umno dan PAS telah masuk gear empat menakut-nakutkan orang Melayu luar bandar dan peneroka Felda bahawa jika PH menang DAP akan kuasai kerajaan.

Tetapi mereka tidaklah hebahkan yang DAP hanya bertanding  37 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat. Yang penting bagi Umno dan PAS adalah pembohongan mereka itu dipercayai oleh orang Melayu.

Dalam pemikiran mereka, orang Melayu luar bandar dan peneroka Felda boleh diperbodohkan. Inilah “Islam” PAS dan wassatiyah Umno, iaitu berbohong dan memperbodohkan rakyat jelata.

Manakala Mustapa amat yakin Umno boleh tawan Kelantan, Najib pula dikatakan telah mengarahkan kajian yang penemuannya menjurus ke arah kegagalan Umno merampas balik negeri itu.


  • Ini mengukuhkan lagi pendapat bahawa wujud satu bentuk persefahaman sulit di antara Najib dengan PAS yang tidak diketahui oleh kepemimpinan Umno tetapi diketahui dan disokong sebulat suara oleh beberapa orang pemimpin tertinggi PAS yang “terhutang budi” kepada Presiden Umno itu.

Sebab itulah mereka begitu lantang menyerang Dr Mahathir dan PH. Musuh Najib sudah menjadi musuh mereka. Apa yang Dr Mahathir serang seperti skandal 1MDB, GST, skandal Felda/FGV, penjualan aset negara, skandal Tabung Haji dan banyak lagi semuanya dipertahankan oleh PAS seolah-olah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa adalah halal di sisi Islam yang PAS amalkan.

Tetapi saya rasa pemimpin PAS yang celik hukum amat bimbang dengan perjalanan kes saman Abdul Hadi terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, di mahkamah London. Kes itu mungkin menjadi senjata makan tuan.

Bagi Najib pula, masalah beliau di Amerika menjadi semakin rumit walaupun telah berjumpa Presiden Donald Trump dan menjanjikan berbilion ringgit pelaburan dan import bagi memperkukuhkan ekonomi Amerika.

Trump dan Najib: Senyuman penuh muslihat
Pada 20 Disember lepas, Trump telah menandatangani Perintah Eksekutif (Exacutive Order) 13818 yang bertujuan menyekat pergerakan harta orang-orang yang terlibat dengan pelanggaran serius hak asasi manusia dan rasuah.

Perintah itu mengisytiharkan darurat kebangsaan bersabit pelanggaran serius hak asasi manusia dan rasuah di seluruh pelosok dunia.

Ia memperuntukkan sekatan ke atas pelaku-pelaku perbuatan hina ini dan sekali gus memberi kuasa kepada Jabatan Kewangan Amerika (U.S. Treasury) membekukan  harta orang-orang  yang melakukan pelanggaran serius hak asasi manusia dan yang terlibat dengan rasuah.

Keakraban Najib-Abdul Hadi tidak dikongsi semua
 Kesimpulannya, sebarang percubaan unilateral oleh Najib untuk berpakat dengan PAS atau dengan pemimpin-pemimpin tertentu dalam PAS yang termakan budi dengan beliau pasti mencetuskan masalah.

Ketua-ketua Umno dan PAS yang tidak dibawa berunding pasti tidak puas hati kerana perang Umno-PAS selama ini adalah sumber kuasa dan pendapatan bagi mereka.

Penggiat serta penyokong akar umbi ke dua-dua buah parti yang bermusuhan begitu lama dan mendapat habuan daripadanya juga tentu tidak akan berdamai dan berpeluk-pelukan secara spontan macam Najib dan Abdul Hadi berpegangan tangan dan berganding bahu.

Wallahuaklam.

Monday, January 08, 2018

Pakatan Harapan Jana Gelombang Rakyat


A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

DALAM tampalan di dinding Facebook saya semalam, saya menulis: “Di Konvensyen Pakatan Harapan 2018. Calon PM: Dr Mahathir Mohamad. Calon TPM: Dr Wan Azizah Wan Ismail.”

Pakatan Harapan janji perubahan
Suara penghebah, ((Datuk) Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH)) tenggelam apabila dewan persidangan IDCC, Shah Alam, meledak dengan sorak rosai dan tepukan gemuruh perwakilan disertai dengan asakan para jurugambar media untuk merakamkan “the best shot of the occasion”.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menitiskan air mata sambil didakap oleh Dr Wan Azizah. Tetapi bukan Dr Siti Hasmah seorang yang menitiskan air mata. Ramai yang turut dilanda emosi dan mengalirkan air mata gembira.

Yang tidak gembira adalah Umno dan Barisan Nasional serta alat-alat propaganda mereka.

Maka tidak hairanlah apabila seorang laskar siber mereka pantas menjawab tampalan saya dengan komen: “Apa fasal tidak pilih Dr Chen Man Hin sebagai DPM ll? Umur dia dalam band umur PM pasca PH menang majoriti PRUXIV nanti.”

Bukan dia sahaja malah keseluruhan gerombolannya - daripada yang duduk “berwassap” di warung tepi longkang sambil minum kopi murah hingga yang duduk di kerusi empuk cigar bar sambil menghisap cerut Cohiba buatan Cuba yang amat mahal harganya - pasti kecewa dengan perkembangan itu.

Walaupun mereka melambakkan sosial media dengan caci maki dan carta warna-warni memuji kehebatan Umno-Barisan Nasional, realitinya mereka dilanda ketakutan yang amat sangat.

Mereka menggeletar dan boleh jadi ada anggota badan mereka yang kecut ibarat lelaki gagah yang tiba-tiba diserang sindrom koro. Sesiapa yang berminat mengenai sindrom koro boleh baca di sini.

Dua Doktor Dalam Parti

Gandingan dua orang doktor perubatan itu bererti penjelmaan semula – selepas hampir 20 tahun - gabungan luar biasa Mahathir-Anwar Ibrahim.

Sebagai seorang yang bernasib baik (atau buruk) berada dalam kedua-dua era itu (1982-1988 dan sekarang), saya rasa saya cukup faham dengan sentimen yang melanda Umno-BN dan rakan pilihan raya mereka, Parti Islam se-Malaysia (PAS) berikutan Konvensyen PH itu.

Presiden Umno merangkap Pengerusi BN dan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak pasti lebih daripada sedar implikasi gabungan itu kerana beliau sendiri adalah serpihan era gemilang Mahathir-Anwar.

Saya berada dalam sidang akhbar di Jabatan Perdana Menteri lama di Jalan Datuk Onn, Kuala Lumpur apabila Dr Mahathir memperkenalkan Anwar sebagai “the newest member of Umno” (ahli terbaharu Umno) pada awal tahun 1982.

1982: Sidang akhbar penyertaan Anwas dalam Umno
Saya berada di Rumah Sabah, Jalan Ampang pada malam pilihan raya umum 1982 – PRU sulung Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri – apabila beliau menyifatkan kejayaan Anwar merampas Permatang Pauh daripada PAS sebagai anak ayam baru tumbuh bulu pahat tetapi sudah diterima rakyat.

Malangnya, saya juga berada di situ apabila Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno pada tahun 1998. Seboleh-bolehnya Dr Mahathir tidak mahu memecat Anwar. Tetapi dalam kepanasan keadaan pada waktu itu, banyak perkara yang sepatutnya berlaku tidak berlaku dan yang tidak sepatutnya berlaku telah berlaku.

Sedikit sebanyak saya terperangkap dalam peristiwa itu atas kapasiti saya sebagai Pengarang Kumpulan akhbar-akhbar berbahasa Inggeris Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) dan “empat budak Melayu” yang terlibat membuat pembelian pengurusan (management buy-out/MBO) ke atas NSTP.

Pada tahun 2000 saya meletak jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NSTP kerana saya merasakan bahawa “tuntutan” oleh sebahagian kepemimpinan Umno mengenai cara menangani “isu Anwar” adalah di luar kemampuan saya untuk melaksanakannya tanpa mengorbankan idealisme dan etika kewartawanan.

Janji perpisahan saya kepada Dr Mahathir apabila saya memaklumkan kepada beliau keputusan saya untuk meletak jawatan adalah “we shall remain friends” (kita akan kekal bersahabat).

Saya juga berada di situ apabila Anwar dibebaskan daripada penjara pada tahun 2004 atas keputusan mahkamah. Saya mengunjungi beliau pada sebelah petang hari beliau dibebaskan dan menulis sebuah rencana dalam majalah Business Times mengatakan bahawa ini bukan kali terakhir kita melihat Anwar.

Tetapi apa yang berlaku semalam adalah lebih daripada “sequel” kepada apa yang selama ini saya labelkan sebagai “cinta lara Mahathir-Anwar.”

Ia pastinya bukan mengenai Dr Mahathir dan Anwar semata-mata. Bukan nostalgia tentang hari-hari yang telah berlalu apatah lagi kerana gilakan kuasa. Dan tidak sekali-kali kerana cemburukan Najib yang merah bibirnya dan mewah hidupnya.

Ia adalah kemuncak kepada satu siri percambahan minda, tolak ansur dan pengorbanan yang melibatkan banyak pihak - daripada kalangan politik kepada badan-badan bukan kerajaan, cendekiawan dan seorang ilmuwan buta yang dalam kegelapan dunianya percaya wajib ada cahaya di hujung terowong.

Semua itu atas landasan dan kesedaran bahawa Malaysia dan rakyat jelatanya perlu diselamatkan daripada pemerintahan oleh pencuri (kleptokrasi) yang sedang memufliskan negara dan menjadikan Malaysia negara paria.

Pakatan Harapan adalah jawapan mutakhir kepada segala percubaan yang sebelum ini menemui jalan buntu – daripada usaha mengubah dari dalam kepada titah Raja-raja Melayu, undi tidak percaya dan akhir sekali Deklarasi Rakyat oleh lebih sejuta peserta yang semuanya dibakulsampahkan oleh Kleptokrat MO1 dan konco-konconya.

Malah melihat kepada apa yang telah dan sedang dilakukan oleh kleptokrat - daripada melacurkan institusi pentadbiran kepada menjual dan menggadaikan harta negara, membebankan rakyat jelata dengan hutang dan cukai, menyogok peneroka Felda dan orang kampung dengan dedak sambil merompak harta yang diamanahkan untuk mereka, tidur sebantal dengan Parti Komunis China dan menafikan kuasa Parlimen membincangkan skandal 1MDB – kalau BN menang juga, samalah dengan kita mengucapkan selamat jalan kepada Malaysia negara tercinta.

Tanah Semenanjung yang dibaratkan sebagai permata nilam oleh seniman aktivis Aishah dalam dendangannya di konvensyen semalam akan menjadi permata kaca murahan yang berkecai di lantai menunggu untuk melukakan kaki anak-anak kecil yang bermain bunga api.

Justeru itu, pilihan raya kali ini adalah pertarungan rakyat jelata yang tertindas melawan kleptokrasi Umno-BN yang menindas.

PH hanyalah pemudah cara bagi rakyat jelata yang pedulikan hari ini dan masa depan mereka, anak mereka dan cucu-cicit mereka untuk melakukan perubahan.

Wallahuaklam.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).